Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
SHAH ALAM: Pesta Bola Perantau Anak Terengganu Piala Menteri Besar yang terhenti akibat pandemik Covid-19 dihidupkan semula tahun ini apabila sebanyak 20 pasukan bertanding di sini, hari ini.
Pertandingan anjuran PERANTAU (Persatuan Anak Terengganu di Perantauan) diadakan di EV Arena di sini, dengan dua kategori dipertandingkan, iaitu Terbuka 9 sebelah dan Semi Veteran 7 sebelah
Pertandingan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Hanafiah Mat yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri n Mokhtar.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Terengganu, Ariffin Deraman.
Berucap ketika perasmian, Hanafiah berkata, program ini dapat mengeratkan silaturrahim dalam kalangan anak Terengganu di perantauan, terutama yang tinggal di sekitar Lembah Klang.
“Kita dapat berkenalan antara satu sama lain, terutama masing-masing mempunyai pelbagai kerjaya yang berlainan. Jadi ambillah kesempatan pada hari ini untuk saling kenal mengenali dan berhubung pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian kos penganjuran disumbangkan oleh Menteri Besar Terengganu yang sangat prihatin terhadap anak Terengganu di perantauan, malah PERANTAU diletakkan di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah.



.Hanafiah berkata, kerajaan Terengganu sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat bukan sahaja di Terengganu, malah yang berada di negeri lain.
“Hari ini, saya akan memberikan bantuan wang tunai i-PERANTAU sebanyak RM400 kepada 1,032 orang di sini dan esok di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sebagai tanda bahawa kerajaan sentiasa bersama anak perantau,” katanya.
Beliau berharap rakyat Terengganu di perantauan akan balik mengundi di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan memastikan kerajaan PAS dapat meneruskan khidmat kepada rakyat.
Sementara itu Pengarah Pesta Bola Perantau Anak Terengganu Piala Menteri Besar, Alias Mohamed Lela, berkata pertandingan ini sebelum ini sering diadakan sehingga pandemik Covid-19 melanda.
Katanya, pertandingan kali ini yang mendapat sambutan baik daripada kalangan anak Terengganu sekitar Lembah Klang juga merupakan antara aktiviti PERANTAU dan kerajaan negeri.
“Walaupun terdapat pelbagai kekangan, sebanyak 20 pasukan dan lebih 200 pemain menyertai pertandingan pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/22
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!