Ulama Patani ajak umat Islam perkukuh perpaduan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Umat Islam di negara ini perlu bersatu dalam segala perkara bagi mempertahankan agama dan memperkukuhkan perpaduan ummah.

Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Patani, Thailand Baba Ghazali Ahmad Al-Fathani berkata, Islam sentiasa mengajak ummah untuk bersatu.

Katanya, syariat Islam terangkum dalam nilai kesatuan yang merupakan elemen teras dalam Maqasid Syariah.

- Advertisement -

Kata beliau kesatuan serta perpaduan merupakan tonggak kepada kesejahteraan hidup manusia.

“Kalau kita berpegang dengan agama tentu kita dapat bersatu dan menyatukan ummah. Hendaklah kamu taat kepada Allah dan Rasul.

“Selain itu juga bagi memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan setiap kita perlu taat kepada pemimpin dalam erti kata lain demi menjaga kemaslahatan.

“Maqasid Syariah berfungsi bagi memastikan segala urusan kehidupan dan pentadbiran negara sentiasa menatijahkan kebaikan serta kesejahteraan seluruh ummah,” katanya pada forum sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.

Turut mengupas tajuk ‘Memperteguh Kesatuan Ummah’ pada program Bicara Ulama Nusantara anggota Exco kerajaan Kelantan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Dr Mohd Ramizu Abdullah @ Zakaria bertindak sebagai moderator.

Nassuruddin pula berkata, rakyat di negara ini perlu mempertahankan kesucian agama Islam daripada dihimpit pelbagai kezaliman dan kerosakan akibat perbuatan manusia.

Menurutnya perpaduan, kesatuan dan bersatu padu menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam demi menjaga keharmonian dan kesefahaman bersama bangsa dan agama lain.

“Allah SWT tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam selagi ia tidak membawa kepada keburukan.

“InsyaAllah, kita dapat wujudkan suasana harmoni sesama masyarakat Islam dan bukan Islam dalam memperkukuhkan perpaduan yang telah lama wujud di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2022

- Advertisement -