Tempoh menunggu janji temu Pakar Ortodontik Negeri Perak

- Advertisement -

BAHAGIAN Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah sedia maklum dan sentiasa memantau isu pesakit perlu menunggu untuk mendapatkan tarikh temu janji rawatan di semua klinik pergigian kerajaan.

Secara umumnya purata tempoh menunggu bagi rawatan pergigian umum di klinik pergigian kerajaan di seluruh Negeri Perak adalah kurang dari 3 bulan.

Bergantung kepada permintaan dan jenis rawatan, terdapat klinik yang tiada tempoh menunggu.

Lazimnya dalam keadaan di mana pesakit tidak mendapat rawatan pergigian terus (stat) dan perlu menunggu janji temu bagi mendapatkan rawatan pergigian susulan, ianya kerana keutamaan perlu diberikan kepada pesakit yang di dalam keadaan kecemasan seperti kesakitan, bengkak dan trauma.

Namun begitu bagi rawatan yang mudah seperti kerosakan gigi yang kecil, penskaleran yang minimal, rawatan biasanya akan diberikan pada hari yang sama.

Bagi rawatan pergigian yang bersifat kompleks di mana lebih fokus dan masa perlu diberikan kepada pesakit, janji temu akan diberikan.

Tempoh menunggu temu janji bagi rawatan ortodontik berbeza daripada rawatan pergigian yang lain seperti tampalan dan penskaleran kerana proses rawatan ortodontik mengambil masa yang lebih panjang untuk selesai.

Rawatan ortodontik bagi seorang pesakit meliputi 2 fasa rawatan iaitu fasa rawatan aktif yang mengambil masa purata 18-36 bulan dan fasa pemegangan (retention) selama satu tahun.

Janji temu secara berkala diberikan setiap 6-8 minggu atau mengikut keperluan rawatan bagi setiap kes.

Oleh kerana keperluan rawatan ortodontik yang memerlukan pesakit hadir ke klinik bagi tempoh yang panjang, slot-slot janji temu perlu disusun dan dibahagikan kepada kes aktif, kes pemegangan dan kes baru dari senarai menunggu di samping kes segera (walk in) bagi pembaikan aplians patah atau tertanggal.

Sebagai makluman, purata bilangan pesakit yang dilihat setiap hari, di klinik pergigian kerajaan oleh Pakar Ortodontik adalah seramai 20-25 orang (untuk seorang pakar).

Antara tindakan yang diambil bagi mengurangkan tempoh menunggu temu janji ialah pengagihan semula pesakit di mana pesakit ditawarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik-klinik lain yang berdekatan dan slot janji temu tambahan pada waktu rehat di mana terdapat pegawai pergigian yang bertugas secara giliran.

Selain itu, lawatan oleh Pakar Ortodontik dari klinik lain bagi pakar yang telah bersara atau bercuti panjang juga dilaksanakan.

Bagi tindakan jangka masa panjang, penambahan bilangan pakar sama ada di fasiliti baru atau sedia ada telah dirancang bagi menampung peningkatan permintaan pesakit yang memerlukan rawatan ortodontik serta tempoh menunggu yang lama. 

Jumlah pakar ortodontik di Negeri Perak dalam sektor kerajaan adalah seramai tujuh pakar manakala swasta seramai lima pakar.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak – HARAKAHDAILY22/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -