
Susunan ZULHAIDI MANSOR
MINNESOTA: Sekeping gambar telah mengejutkan umum apabila ia merakam 47 ekor kucing bersesak-sesak di dalam kereta seorang gelandangan yang diparkir dalam keadaan panas terik di kawasan rehat Minnesota.
Kucing-kucing itu ditemui tinggal di dalam kenderaan itu bersama pemiliknya, yang baru-baru ini menjadi gelandangan; dan disebabkan tidak mahu meninggalkan kucing-kucingnya itu, dia nekad membawa 47 ekor kucing tinggal bersamanya di kereta berkenaan, lapor New York Post.
“Malangnya, dengan bahang cuaca panas di luar kenderaan itu dia menyedari bahawa ia adalah di luar kemampuannya ketika ini. Dan dia membenarkan kami membantu mereka,” kata penyiasat dari Animal Humane Society, Ashley Pudas.
Suhu di perhentian rehat Interstate 35, kira-kira 50 batu di utara Minneapolis, meningkat melebihi 90 darjah pada hari Selasa (19 Julai).
“Pemiliknya telah tinggal bersama kucing-kucing itu yang berumur kurang dari setahun hingga lebih 12 tahun untuk beberapa lama di dalam kereta itu,” kata Pudas sambil menyatakan bahawa lelaki itu tidak meninggalkan kucing-kucingnya bersendirian.
Walaupun panas terik dan keadaan tidak bersih di dalam kereta itu, kebanyakan kucing-kcing berkenaan hanya mengalami masalah perubatan kecil.
Lelaki itu sebelum ini telah menyerahkan 14 daripada kucingnya, yang diambil oleh organisasi penyelamat tempatan.
Sementara, Independent.co.uk pula melaporkan 47 ekor kucing berkenaan didapati berada dalam keadaan sihat oleh doktor dari Animal Humane Society, selepas ditemui di dalam keretanya bersamanya.
Pihak berkuasa berkata, kereta lelaki tersebut yang baru-baru ini kehilangan tempat tinggal ditemui diparkir di kawasan rehat Minnesota tenggara dengan hampir empat dozen kucingnya berada di dalam kenderaan itu. – HARAKAHDAILY 22/7/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!