Harga minyak masak botol runcit mula rekodkan penyusutan

- Advertisement -

HARGA minyak masak botol di peringkat peruncit kini mula merekodkan penyusutan, susulan penurunan harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran sehingga mencecah paras RM3,814 semalam. Kali terakhir paras rendah sebegini direkodkan adalah pada Julai 2021, manakala kadar tertinggi menjangkau RM8,076 dicatatkan pada Mac tahun ini.  

Dalam lawatan turun padang ke premis pemborong, Chan Era (M) Sdn Bhd, di Sibu hari ini, pengusaha memaklumkan bahawa minyak masak tulen kemasan botol 5kg sudah dijual pada harga RM39 di peringkat peruncit, berbanding RM45 pada bulan lalu. Pengurangan harga sebanyak 13 peratus ini adalah hanya permulaan, memandangkan unjuran pasaran menunjukkan pola penyusutan harga berikutan kesan CPO akan terus berlaku.

Mengikut simulasi KPDNHEP sebelum ini, kadar CPO semasa (RM3,814.50) sepatutnya menyebabkan harga minyak masak botol 5kg dipasarkan di peringkat peruncit sekitar RM30.65. Bagaimanapun, ‘reflection’ atau kesan langsung daripada pola penurunan harga CPO dilihat berlaku amat perlahan.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi memberi penegasan kepada industri supaya sebarang penyusutan harga CPO wajar memberi kesan langsung kepada harga minyak masak botol di peringkat peruncit. Jangan ada pihak yang cuba melengahkan perubahan harga mengikut CPO ini, dengan alasan kerana nak menghabiskan stok bekalan lama.

Berdasarkan libat urus bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), saya dimaklumkan bahawa usaha untuk menukar penetapan harga pembelian buah tandan segar (BTS) mengikut mingguan, berbanding bulanan ketika ini giat dijalankan. Menerusi usaha ini, sebarang kesan langsung harga dapat dilihat dalam purata seminggu hingga seminggu setengah, berbanding dua hingga dua bulan setengah sekarang.

KPDNHEP akan terus mengadakan libat urus, selain menjalin kerjasama dengan pihak, kementerian dan agensi berkaitan demi memastikan hak pengguna terjaga serta mengimbangi kepentingan industri.

DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) – HARAKAHDAILY 22/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -