Dakwah terhadap golongan OKU menjadi perhatian kerajaan

- Advertisement -

SAYA menyokong pelbagai inisiatif dan usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) diberi perhatian dan mendapat peluang mempelajari ilmu agama sebaik mungkin seperti mana dinikmati oleh golongan normal. 

Saya berminat untuk membangkitkan isu ini berdasarkan soalan saya di Dewan Rakyat baru-baru ini iaitu berkaitan dengan usaha-usaha dakwah yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan terhadap golongan OKU di negara ini. 

Antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan terhadap golongan OKU ialah melalui pendidikan agama dengan mewujudkan Glosari Istilah Islam bagi bahasa isyarat berbentuk buku dan aplikasi dengan membangunkan glosari signage berkaitan akidah dan munakahat untuk kategori pekak. 

Di samping itu, kerajaan juga berusaha untuk mengadakan program-program penghayatan Islam sama ada secara bersemuka mahupun program atas talian dan saluran media massa kepada golongan OKU. 

Pada masa yang sama, saya mencadangkan bengkel dan kursus seperti Bengkel Semakan Modul KAFA Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Masalah Pembelajaran dan Kursus Lanjutan Guru KAFA MBPK (pekak, bisu dan buta) wajar diadakan dengan lebih kerap bagi memastikan kanak-kanak golongan OKU tidak tercicir dalam mendapatkan ilmu agama mengikut tahap ketidakupayaan mereka. 

Sehubungan itu, besar harapan saya agar segala program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam menyampaikan dakwah Islam kepada golongan OKU diteruskan secara berterusan dan mendapat sokongan padu daripada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 22/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -