MPKB-BRI kompaun individu buat kotor di tempat awam

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan 555 kompaun berkaitan kebersihan di kawasan seliannya sepanjang Januari sehingga 20 Julai lepas.

Kompaun berkenaan di bawah Undang-Undang Kecil MPKB. Sebanyak 77 kompaun dikeluarkan ke atas individu yang membuat kekotoran di tempat awam.

Yang Dipertua MPKB BRI Rosnazli Amin berkata, antaranya kesalahan itu membuang sampah di luar tong sampah, membuang sisa kebun atau binaan di tong sampah awam.

Selain itu membuang sisa industri kilang ke dalam tong sampah awam.

“Kesalahan lain meletakkan sampah atau apa-apa sisa di kaki lima premis di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MPKB 1983.

“MPKB-BRI juga mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana premis makanan yang tidak menjaga kebersihan premis (premis kotor).

“Sehingga kini, sebanyak 478 kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MPKB 1986 dan Undang-Undang Kecil Pengawalan dan Penyeliaan Establisymen Makanan MPKB 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga maksima RM500.

Kata beliau, sekiranya tawaran kompaun tidak dijelaskan, perlanggaran mana-mana undang-undang kecil boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti/denda sehingga RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali.

“Bagi kesalahan yang berterusan selepas sabitan, denda boleh dikenakan maksima RM200 sehari,” katanya.

Beliau berkata, langkah tegas itu bagi menyokong kempen Kelantanku Bersih yang dianjur kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -