Kedah komited siapkan rumah mangsa tragedi di Baling

- Advertisement -

SAYA sempat memaklumkan langkah-langkah terkini Kerajaan Negeri dan agensi-agensi kerajaan yang sedang menguruskan bencana aliran puing di Baling kepada YAB Perdana Menteri (PM) sebaik selesai Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) di Bangunan Parlimen semalam. 

YAB PM meminta disegerakan pembinaan rumah-rumah untuk penduduk yang kehilangan rumah mereka.

Satu mesyuarat pelarasan antara agensi-agensi yang terlibat dengan pembinaan rumah ganti telah dilaksanakan tengahari semalam dipengerusikan oleh YB Dato’ Pegawai Kewangan Negeri. 

Komitmen Kerajaan Negeri Kedah adalah menyiapkan kediaman-kediaman itu dalam tempoh kurang daripada 6 bulan termasuk infrastruktur yang diperlukan. 

Kos sebuah rumah yang dipersetujui dalam mesyuarat itu sekitar RM75,000 berdasarkan harga bahan binaan terkini.

Tanah berhampiran perkampungan Keda di Kg Sadek yang masih berstatus tanah kerajaan negeri telah dipilih untuk menempatkan rumah-rumah tersebut yang akan dibina oleh anak syarikat PKNK dengan pembiayaan Kerajaan Negeri, Tabung Kedah Care, sumbangan MAIWP dan KPLB.

Kerja-kerja pengukuhan tebing sungai sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran JPS (KASA) dan kerja pedalaman Sungai Lata Celak / Sg Kupang yang cetek akibat ditimbus pasir hanya boleh dilakukan kemudian.

YAB PM juga meminta diperhatikan juga kawasan lain yang mungkin berisiko menghadapi situasi seperti itu pada masa akan datang. 

Dengan pengalaman banjir aliran puing di Yan dan Baling, beliau turut bersetuju bahawa kejadian bencana seumpama itu memang sukar diramal, di luar jangkaan dan harus diselesaikan dengan teratur.

YAB DATO’ SERI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -