Hanya projek baharu, belum mula ditangguhkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato' Sri Mustapa Mohamed.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Pan Borneo dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3), tidak terjejas dengan keputusan kerajaan untuk menangguh atau membatalkan projek baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed, berkata ini kerana projek yang akan ditangguhkan adalah projek baharu dan sedia ada yang belum dimulakan proses perolehan dan belum diiklankan.

- Advertisement -

Menurutnya, turut ditangguhkan ialah projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat serta projek baharu dan sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak.

“Projek yang sedang dalam pelaksanaan, telah dikeluarkan iklan tender, Surat Niat dan Surat Setuju Terima akan diteruskan.

“Begitu juga dengan projek yang dibiayai daripada Dana Infra serta semua projek penyelenggaraan yang mustahak dan telah diluluskan akan terus dilaksanakan. Ini penting bagi menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) ketika Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mustapa memberitahu bahawa sebanyak 7,243 projek pembangunan membabitkan peruntukan RM75.6 bilion diluluskan untuk pelaksanaan pada tahun ini.

Bagaimanapun, katanya hasil sesi libat urus antara Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kerja Raya (KKR), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), setakat ini, beberapa projek telah dikenal pasti untuk ditangguhkan pada tahun ini.

Katanya, antara projek berkenaan ialah pembinaan pusat pemprosesan getah bersepadu (Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi), perolehan peralatan bagi memodenkan bengkel dalam bidang elektrikal (Kementerian Sumber Manusia), projek kerjasama pusat latihan teknologi tinggi dengan institusi pendidikan dan latihan di luar negara (Kementerian Sumber Manusia) dan projek penyelidikan strategik (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Pihak MOF, KKR, EPU, ICU dan JKR sedang mengadakan sesi libat urus dengan semua kementerian dan jabatan dan dijangka pada September ini, suatu angka kasar dapat diperolehi mengenai projek yang akan ditangguhkan,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan langkah penjimatan dilaksanakan tidak menjejaskan usaha pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 21/7/22

- Advertisement -