Gelombang haba di Sepanyol: 10 hari, 500 maut

Dua anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan yang marak di Sepanyol. (FOTO Daily Sabah)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

MADRID: Lebih 500 orang maut dalam tempoh 10 hari disebabkan fenomena gelombang haba di Sepanyol, yang merupakan salah satu tragedi paling dahsyat pernah direkodkan di negara itu.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, menurut Channel News Asia, berkata, angka yang dikeluarkan pada Isnin dari Institut Kesihatan Carlos III sepanyol yang menganggarkan jumlah kematian berkaitan haba berdasarkan jumlah kematian berlebihan jika dibandingkan dengan purata pada tahun-tahun sebelumnya.

- Advertisement -

“Semasa gelombang panas ini, lebih 500 orang maut kerana suhu yang begitu tinggi, menurut statistik,” kata Sanchez.

“Saya meminta rakyat supaya berhati-hati,” tambahnya sambil menyatakan bahawa kecemasan yang dicetuskan iklim kini adalah suatu realiti.

Sepanyol dicengkam masalah gelombang haba yang menjejaskan sebahagian besar Eropah Barat yang menyebabkan suhu mencecah setinggi 45 darjah Celsius di beberapa wilayah pada minggu lalu,yang lantas  mencetuskan berpuluh-puluh kes kebakaran hutan.

Kejadian itumemaksa beribu-ribu orang dipindahkan dan meragut sekurang-kurangnya dua nyawa – seorang anggota bomba dan seorang gembala yang terperangkap dalam kebakaran di barat laut Sepanyol. 

Sementara itu, The Brussels Times melaporkan gelombang panas itu adalah yang paling teruk pernah direkodkan di Sepanyol, menurut data awal yang diterbitkan pada Rabu oleh agensi meteorologi kebangsaan, Aemet.

Menurut jurucakap Aemet, Beatriz Hervella, gelombang haba panas yang melanda Sepanyol dari 9 hingga 18 Julai 2022 itu  menunjukkan paras suhu tertinggi pernah direkodkan  di negara itu sejak pengumpulan data dimulakan pada 1975.

“Perubahan iklim membunuh,” antara ayat yang diucapkan Sanchez  beberapa kali semasa berucap tentang gelombang haba di Sepanyol.

Angka kematian yang disebut oleh Sanchez adalah berdasarkan anggaran Institut Awam Carlos III, yang membuat pengiraan statistik bagi lebihan kematian akibat sebab tertentu, seperti kenaikan suhu, dengan membandingkan angka ini dengan siri statistik sejarah. – HARAKAHDAILY 21/7/2022.

- Advertisement -