Dibiar semakin menjadi-jadi

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

- Advertisement -

BANYAK pihak marah. Mengapa tidaknya, adegan menghina Islam semakin menjadi-jadi sekarang. Kali ini melibatkan orang Melayu sendiri. MasyaAllah apa nak jadi.

Ia seperti disengajakan. Ia berlaku bukan kerana kebetulan. Tindakan tanduk seorang wanita yang bernama seperti Melayu bukan sahaja memalukan keluarga, sebaliknya seluruh umat Islam.

Bukan sahaja orang Islam di Malaysia, malah di seluruh dunia. Kita masih ingat ada pihak menawarkan hadiah lumayan kepada mereka yang berjaya menahan individu menghina Islam.

Dunia pernah digemparkan Salman Rushdie yang menghasilkan novel ‘The Satanic Verses’ (1988) yang menghina Islam.

Tindakan penulis terbabit mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Ayatollah Ruhollah Khomeini dari Iran pernah mengeluarkan fatwa terhadap penulis terbabit.

Itu berlaku di luar negara. Negara kita ada undang-undang. Ada undang-undang sivil dan perundangan Syariah. Ia bertujuan menjaga kesucian agama.

Individu yang menghina Islam boleh didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun. Kesalahan itu kerana menimbulkan kebencian dan penghinaan terhadap mana-mana agama.

Di bawah perundangan syariah kesalahan menghina Islam boleh dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam dan Institusinya.

Baru-baru ini Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali membenarkan individu terbabit yang bernama Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin.

Individu berkenaan dilapor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat Islam.

Isu itu bermula apabila wanita terbabit ketika membuah persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail 4 Jun lalu mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam.

Malah tindak tanduknya menanggal baju kurung dan tudung di khalayak ramai menimbulkan kemarahan umat Islam. Hakim menetapkan 1 September hadapan untuk sebutan semula kes tersebut.

Pada Jumaat lepas kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mengumumkan membantu Siti Nuramira bagi mengumpul dana untuk menjaminnya.
Persoalannya mengapa isu menghina agama semakin menjadi-jadi. Bukan lagi orang bukan Islam yang menghina agama Islam.

Pada era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) muncul individu bernama Sarkas Tanesan, Henry Hiung dan Sally Yen yang menghina Islam di media sosial.

Kata Henry ‘orang Islam maha super sensitive, syurga pun kamu tidak pernah nampak’. Itu gambaran yang diberi mereka yang berpangkal nama bukan Islam.

Sekarang menjalar pula kepada nama seperti orang Melayu. Kerajaan perlu bertindak tegas. Kata Ketua Pemuda PAS Malaysia Ahmad Fadhli Shaari jangan beri muka.

Tiba masanya kerajaan kena serius untuk memartabatkan semula perundangan Syariah. Pindaan Akta 355 untuk memberi kuasa lebih luas kepada Mahkamah Syariah perlu disegerakan.

Bukan lagi sekadar denda RM5,000. Akta Mahkamah Syariah Bidang kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984) sehingga sekarang memperuntukkan Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman maksimum denda RM5,000, atau penjara maksimum 3 tahun atau sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.

Seperti kata bekas Ketua Hakim Negara. Tun Abdul Hamid, “Saya tahu sekarang pun usaha sedang dibuat untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh mahkamah syariah, dalam linkungan undang-undang yang berkuatkuasa sekarang, khususnya Perlembagaan Persekutuan……. Masalah-masalah itu hanya boleh diatasi dengan perubahan struktur yang menyeluruh, termasuk meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 217/2022

- Advertisement -