Dakwaan Malaysia akan susuli Sri Lanka

- Advertisement -

TRAGEDI ekonomi, politik sosial yang melanda Sri Lanka amat membimbangkan rakyat. Sampai satu tahap, ada rakyat bimbang Malaysia akan menuruti nasib Sri Lanka.

Ada juga yang menyamakan Dinasti Rajapaksa dengan kedudukan sebahagian pemimpin politik Malaysia yang selesa menikmati hasil mahsul negara atas kesesakan yang dihadapi rakyat.

Namun begitu kita tidak perlu bimbang. Kebarangkalian Malaysia ke arah Sri Lanka amat tipis. Dan kita tidak perlu menjadi seperti Sri Lanka, kononnya ada kebangkitan rakyat untuk menggulingkan kerajaan.

Hakikatnya keadaan di Malaysia masih terkawal dan insya-Allah akan terkawal.

1. Pertamanya, IMF mengatakan dengan jelas, Malaysia tidak mengalami masalah ekonomi sepertimana dialami negara muflis lain. Malahan, hujung April lepas, IMF meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia bagi tahun ini akan berkembang pada kadar 5.75 peratus. Maksudnya, ekonomi kita masih bergerak dan akan berkembang.

2. Cuba kita perhatikan maklumat terperinci berkenaan perbandingan antara hutang Sri Lanka dan Malaysia. Sri Lanka banyak berhutang dalam matawang asing iaitu US Dollar sebanyak 51 bilion dollar, namun simpanan rizab asing hanya 2.4 bilion dollar.

Berbeza dengan Malaysia, hutang dalam matawang asing hanya 6 bilion sekitar 2.5 peratus sahaja. Namun rizab matawang asing besar iaitu 116 bilion dollar. 

Hutang dalam bentuk matawang asing amat berisiko terdedah kepada perubahan kadar nilai matawang. Berbeza sekiranya hutang kita dalam kadar matawang tempatan yang bersifat tetap kadarnya. 

Namun kita tidak menafikan keperluan penambahbaikan pengurusan perbelanjaan negara dan pelaksanaan penjimatan yang lebih efisien. 

Langkah penjimatan yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan adalah wajar dipuji, namun sepertimana diutarakan Ketua Pemuda PAS, YB Ustaz Fadli Shaari, kita tidak mahu penjimatan ini berjalan serentak dengan pembaziran di tempat lain. 

Dalam bahasa mudahnya, strategi penjimatan negara hendaklah bersifat komprehensif dan efisien.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -