Bekas editor Harakah rentas tiga negeri dengan basikal

- Advertisement -

KUALA LIPIS: Bekas editor Harakah Syed Putra Ahmad mencatat sejarah apabila memulakan kayuhan solo merentas tiga negeri di Pantai Timur bermula di Temerloh, Jumaat lepas.

Beliau memulakan kayuhan dari Temerloh melalui Jerantut dan Lipis sebelum ke Gua Musang dan Kota Bharu.

“Dari situ saya akan menyusur jalan pantai menghala ke arah selatan menerusi Bachok, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman, Kuantan, Pekan dan kemudiannya berpatah balik ke Temerloh.

“Jerayawara seperti ini sudah lama bermain di fikiran saya dan menjadi angan-angan sejak sekian lama. Perjalanan ini terasa berat, malah menakutkan.

- Advertisement -

“Cabaran fizikal jelas membimbangkan, selain itu terdapat juga cabaran lain. Setelah bertahun-tahun bekerja di meja, dunia luar pejabat sekarang berdepan dengan panas, jalan raya, hutan belukar, angin, hujan, debu dan kenderaan yang perlu didepani,” catatnya di laman sosialnya.

Menurutnya beliau berusaha meneroka kebiasaan dan pengalaman baharu melalui interaksi dengan persekitaran dan alam.

Katanya juga pada awalnya kayuhan dirancang bermula dari Tumpat ke Kota Bharu dan seterusnya kembali ke Temerloh dengan jarak kira-kira 600 kilometer.

Perancangan asal kembara solo tersebut dengan menaiki tren dari Mentakab ke Tumpat.

“Bagaimanapun setelah dimaklumkan KTMB tidak membenarkan basikal dibawa, maka saya terpaksa membuat keputusan berkayuh dari Temerloh ke Kota Bharu, menjadikan jaraknya keseluruhan lebih 1,000 km.

“Saya mencadangkan KTMB mengambil inisiatif bagi membolehkan penumpang membawa basikal dalam tren seperti yang menjadi kelaziman di banyak negara lain,” katanya.

Syed Putra menamatkan perkhidmatan di Harakah selepas mencapai usia pesaraan. Selepas itu beliau meneroka industri penternakan kelulut di kampungnya di Temerloh.

Semalam kayuhan solonya sampai ke Kuala Lipis menjejaki perjalanan sejauh kira-kira 26 km dari Benta.

Menurutnya pada jam pertama kayuhan semalam agak memeritkan kerana suhu agak tinggi tanpa banyak teduhan bagi laluan Damak-Benta.

Sepanjang perjalanan tersebut beliau melewati Kampung Rengai, Kuala Renggul, Kuala Benchah, Batu 6, Penjom, Paya Perah, Dusun Rendah, Binjai, Batu Damar dan Limau Purut.

“Saya berhenti rehat dan solat di Masjid Batu Enam Penjom. Seorang ahli jemaah memberitahu sebelum ini seorang pesara berusia 64 tahun dari Selangor pernah bermalam di situ dalam perjalanan pergi balik ke Kota Bharu dengan basikal,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -