Bangladesh sedia bekal tenaga kerja ke Malaysia

- Advertisement -

SEMALAM saya telah menerima kunjungan hormat Menteri Luar Bangladesh, TYT Dr A. K. Abdul Momen bersama delegasinya. 

Kami berbincang mengenai hubungan dua hala Malaysia-Bangladesh terutama kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan dan tenaga kerja.

Saya menjelaskan kepada TYT Dr A. K. Abdul Momen mengenai proses pemulihan negara pasca pandemik yang sedang berjalan dan antara kekangan utama yang dihadapi oleh sektor industri terutama SME di negara ini ialah kekurangan tenaga kerja.

Beliau memberi jaminan bahawa Bangladesh bersedia membekalkan tenaga kerja yang diperlukan oleh Malaysia susulan MOU yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Bangladesh pada 19 Disember 2021. 

Proses penghantaran tenaga kerja Bangladesh ke negara ini sedang berada di peringkat akhir tertakluk kepada beberapa perkara yang sedang dimuktamadkan oleh kedua-kedua pihak.

Mengenai isu kebajikan pekerja asing di Malaysia yang dibangkitkan oleh TYT Dr A.K. Abdul Momen, saya memberi jaminan bahawa hak dan kebajikan mereka adalah terjamin mengikut lunas undang-undang negara ini.

Dalam pertemuan ini juga, beliau mengalu-alukan syarikat dari Malaysia untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi di Bangladesh terutamanya bidang pertanian yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan.

TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -