Penting fahami isu sebelum berkongsi

Ketua Lajnah Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), Maznah Maftahuddin
- Advertisement -

Oleh RR

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penting supaya agen Penerangan Muslimat memahami dan memantapkan kefahaman mengenai isu semasa yang berlaku di sekeliling.

Ketua Lajnah Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) Maznah Maftahuddin berkata, ini supaya maklumat yang disampaikan kepada masyarakat dapat dijelaskan dengan tepat, jelas dan benar.

“Syukur dan syabas diucapkan kerana inilah tanggungjawab dan tugas kita bersama demi kepentingan menjaga parti, kerajaan dan jemaah kita pada hari ini.

“Mudah-mudahan, insya Allah kita kembali dengan membawa info-info yang dimanfaatkan seterusnya dapat dihebahkan di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program taklimat dan pengolahan isu semasa yang diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu pada Sabtu, 16 Julai yang lalu.

Menurutnya, agen penerangan menggalas satu tanggungjawab yang besar untuk menyampaikan maklumat terkini melalui saluran yang betul.

“Inilah semangat untuk dipikul bersama tanggungjawab ini. Tanpa sahabat, mungkin kaku dan lesu, bagaimana hendak teruskan dan laksanakan tugas yang besar ini, sedangkan hari demi hari setiap detik kita rasakan kita di hujung tanduk.

“Kerajaan kita hadapi pelbagai tekanan dan ancaman sama ada dalam parti sendiri ataupun di luar, serta banyak isu-isu di sekitar kita dan isu kerajaan pada hari ini serta isu pimpinan,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau mengharapkan agar agen Penerangan Muslimat agar memanfaatkan program dengan menampilkan diri ke hadapan, duduk di posisi masing-masing serta belajar menguasai ilmu. – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -