Cedok-cedok: Hukum dan solusi

- Advertisement -

MUTAKHIR ini, kegiatan jual beli di platform media sosial seperti Instagram, Tiktok dan sebagainya, menjadi suatu norma baharu yang berkembang pesat sebagai kaedah mencari sumber kewangan dan menyara kehidupan.

Secara umumnya, kegiatan jual beli adalah suatu yang dihalalkan dan digalakkan dalam Islam selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

‎وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

“Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba’.”

Namun, baru-baru ini tular di Tiktok berkenaan kegiatan jual beli secara cedok-cedok, di mana penjual menjual secara siaran langsung dengan mencedok barangan seperti campuran gula-gula, barangan kerongsang dan produk kecantikan, menggunakan pencedok daripada satu bekas. 

Pembeli akan membayar sejumlah harga yang ditetapkan oleh penjual untuk mencedok barang tersebut, dan akan mendapat barangan secara rawak hasil dari cedokan si penjual. Sekiranya harga barang yang dicedok lebih dari harga yang pembeli bayar, maka pembeli akan mendapat untung. Dan begitu juga sebaliknya. 

Sebenarnya, hukum jual beli menggunakan kaedah ini adalah haram di sisi syarak kerana wujudnya elemen berikut:

1. Gharar (ketidaktentuan semasa aqad barangan yang diperolehi secara tepat dengan bayaran yang dibuat).

2. Jahalah, ketidaktentuan barangan yang diperolehi.

3. Elemen maysir atau judi, iaitu satu pihak akan untung dan satu pihak akan rugi, yang untung atas kerugian orang lain.

Cedok-cedok adalah sama dengan jual beli ‘mulamasah’ yang mana jelas struktur asasnya jualan berbentuk gharar. Rasulullah S.A.W telah melarang jual beli almulamasah dan almunabadhah. Ini berdasarkan Hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

Menurut Imam Nawawi, al-mulamasah adalah bentuk jual beli barangan seperti  baju yang mana disentuh oleh pembeli dalam gelap tanpa melihat, dikira jual. Mulamasah juga termasuk jual beli yang berlaku ke atas mana-mana barangan, tanpa melihat secara terperinci, maka dikira jual. Dan tidak boleh lagi ada pilihan.

Justeru itu, jual beli menggunakan kaedah ini hendaklah dihindari oleh semua lapisan masyarakat, sama ada penjual mahupun pembeli, kerana ianya mempunyai unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak. Banyak lagi kaedah perniagaan yang dihalalkan dalam Islam, termasuk perniagaan atas talian yang menepati syarak. Elakkan diri dari perniagaan yang bersifat syubhah, yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kebinasaan.

LAJNAH DAKWAH, 
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -