
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer yang menghubungkan negeri di Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia mencapai kemajuan sebanyak 31.48 peratus setakat Jun lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pembinaan projek ECRL dibahagikan kepada tiga seksyen, iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Temerloh dan Seksyen C dari Temerloh ke Pelabuhan Klang.
Katanya, projek ini bakal menjimatkan masa perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur kepada empat jam sahaja, berbanding antara tujuh hingga lapan jam ketika ini.
“Bagi projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR), cadangan asal pembinaan HSR Kuala Lumpur ke Singapura dibatalkan pada 1 Januari 2021.
“Pada 29 November 2021, Perdana Menteri mengadakan lawatan dan berbincang dengan Perdana Menteri Singapura. Kedua-dua Perdana Menteri mencadangkan agar model baharu projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dibincangkan semula dan diserahkan semula kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura.
“Susulan itu, saya telah mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatan saya dari Singapura pada 16 Mei lalu bagi memperhalusi cadangan tersebut,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Ka Siong berkata, Perdana Menteri pada 24 Februari lalu pula mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Thailand dan mencadangkan HSR Malaysia disambung dari Kuala Lumpur ke Bangkok.
Berikutan itu, katanya beliau dan Menteri Pengangkutan Thailand pada 17 Mei lalu bersetuju supaya satu jawatankuasa khas bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia dan Thailand yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha MOT kedua-dua negara.
Katanya, ini bertujuan untuk membincangkan mengenai perancangan, jajaran dan aspek teknikal lain berkaitan cadangan projek HSR Kuala Lumpur-Bangkok.
“Sebagai sebuah projek mega yang strategik, Kementerian Pengangkutan perlu melihat cadangan pembangunan projek ini pada skala yang lebih besar iaitu ketersambungan kepada tanah besar ASEAN,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/22