Pengalaman Amzad praktikal selesai masalah Mat Rempit

- Advertisement -

TRAGEDI kemalangan maut yang mengorbankan tiga remaja di George Town awal pagi kelmarin telah mengundang rasa pilu pelbagai pihak. Namun, kekesalan juga kerana hingga kini gejala Mat Rempit, perlumbaan haram dan samseng jalanan di negara ini belum menemui kesudahannya.

Terengganu turut pernah melalui masalah serupa yang bukan sahaja disaksikan penduduk setempat, tetapi para pelancong atau pelawat ke negeri itu. Gejala tersebut dapat dilihat pada petang dan malam hari terutama di Kuala Terengganu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim antara yang ke hadapan dalam usaha menangani isu ini di Kuala Terengganu. Melalui usaha kecil beliau menubuhkan Persatuan Kepolisan Komuniti Durian Burung, kesan positif mulai terserlah.

“Saya gerakkan kariah masjid bersama menubuhkan persatuan kepolisan komuniti dengan kerjasama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menangani masalah rempit yang sangat serius di daerah Kuala Terengganu ketika itu. 

“Kejayaan telah beri kesan pengurangan iaitu hampir sifar rempit di Kuala Terengganu dan rempit tidak lagi jadi gejala serius di seluruh Terengganu,” ujar beliau yang kini merupakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Inisiatif digerakkan beliau dibantu sahabatnya, Allahyarham Mohd Shamsuhaimi Saigai atau Mie Saga telah mengadakan pelbagai program melibatkan kawalan bersama, kesedaran, penggunaan jaringan komuniti kampung dalam menjejaki mat rempit, menyantuni keluarga serta ibu bapa mereka.

Pendekatan-pendekatan tersebut ternyata telah membangkitkan kefahaman komuniti hingga ‘terbantutnya kelahiran’ serta berubahnya paradigma golongan mat rempit. Bahaya diakibatkan gejala sia-sia itu akhirnya kian lenyap dalam generasi muda Terengganu.

“Jati diri agama dan moral yang teguh, pengukuhan institusi keluarga adalah kunci utama menghindarkan anak muda dari terlibat dalam gejala tidak sihat, merugikan dan membahayakan nyawa ini.

“Kerajaan juga perlu mencari jalan menyalurkan minat, tenaga dan kreativiti golongan muda dengan mengadakan aktiviti dan kemudahan yang bersesuaian.

“Mereka yang menjadi penganjur pertaruhan, perjudian berkaitan rempit perlu kenakan tindakan undang-undang yang berat,” ujarnya mengemukakan penyelesaian holistik dan komprehensif dari pengalaman dilaluinya. 

Terang Ahmad Amzad, masalah mat rempit juga sering berhubung kait dengan dadah, pil kuda, arak, pergaulan bebas dan kegiatan maksiat di mana ia turut perlu ditangani.

“Di era teknologi sekarang penggunaan teknologi dron, kamera CCTV yang saling berhubungan boleh membantu. Selain dari itu, mat rempit ini berkomunikasi melalui media sosial, pihak berkuasa boleh menjejaki mereka, mengenalpasti dan buat mereka merasa dalam perhatian,” cadangnya.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 19/7/2022 

- Advertisement -
- Advertisement -