Penduduk tempatan `liat’ rebut peluang kerja

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pelaburan dalam sektor pembuatan, pelancongan, minyak dan gas di Terengganu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, namun penduduk tempatan dilihat tidak begitu berminat dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata sejak Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) diperkenalkan pada 2008, pelbagai pendekatan holistik dijalankan bagi memacu pembangunan sosioekonomi kawasan ECER.

- Advertisement -

Katanya, ini termasuk mewujudkan peluang pekerjaan melalui pelaburan swasta yang secara keseluruhan mencecah RM70 billion.

“Sasaran bagi Terengganu pula mencecah RM26 billion, termasuk sektor pembuatan, pelancongan, minyak, gas dan lain-lain lagi.

“Melalui pelaburan itu, pelbagai peluang pekerjaan mampu diwujudkan, namun yang menjadi kekangan di sini adalah penduduk tempatan masih tidak berminat dengan peluang kerja ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Pembangunan ECER (Pindaan) 2022 Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Shaharizukirnain memohon penjelasan kerajaan mengenai faktor sebenar yang menyebabkan peluang pekerjaan yang diwujudkan tidak mendapat sambutan sewajarnya.

Beliau juga meminta penjelasan mengenai mekanisme yang digariskan kerajaan bagi memastikan penduduk tempatan tertarik untuk memberi sokongan dalam memajukan pertumbuhan ekonomi setempat.

Selain itu, katanya pandemik Covid-19 menyebabkan pertumbuhan serta pembangunan yang disusun turut menerima impak akibat penularan virus itu.

Katanya, banyak projek strategik yang dirancang terpaksa ditangguh, malah ada yang terpaksa dibatalkan dalam pelbagai sektor termasuk perniagaan

“Perkara ini memberi kesan besar terhadap sasaran yang digariskan dalam Pelan Induk ECER 2.0 dengan kebanyakan sasaran tidak dapat dicapai dengan begitu baik.

“Contohnya, sasaran yang ditetapkan bagi mewujudkan peluang perniagaan di negeri Terengganu adalah 15,500, namun hanya 600 peluang perniagaan berjaya dihasilkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon penjelasan mengenai langkah kerajaan bagi meningkatkan kembali pertumbuhan projek pembangunan seperti yang ditetapkan dalam sasaran. – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -