Genius Abqariah himpun wanita berjaya di Kelantan

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri mewujudkan Genius Abqariah sebagai wadah menghimpunkan golongan wanita yang berjaya dalam pelbagai sektor.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, mereka berperanan besar bagi menyumbang kepakaran dalam pembangunan Kelantan.

Katanya, kerajaan negeri dalam rangka menyediakan platform terbaik untuk menghimpunkan wanita Kelantan dengan wujudnya Genius Abqariah.

- Advertisement -

“Kecemerlangan wanita terbabit berdasarkan Hala Tuju Kelantan Melangkah Ke Hadapan melalui Bidang Fokus 5, Strategi 12 dan Program 43,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Roseli Ismail (PAS-Kemuning) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Mumtaz berkata kejayaan tersebut turut membabitkan kepimpinan wanita dalam bidang politik, pentadbiran dan kepimpinan masyarakat.

Menurutnya juga kerajaan negeri melantik wanita sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sejak 1990 sehingga sekarang.

“Fakta menarik sehingga sekarang daripada 10 golongan wanita tersebut di mana lima dilantik antara usia 30 hingga 40 dan lima lagi lebih usia 41 tahun.

“Ini merupakan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan wanita, jadi kena minta Ameerah bersiap sedia terutamanya menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pada PRU 2004, Rohani Ibrahim muncul wakil rakyat wanita pertama bertanding di DUN Tanjong Mas.

Manakala pada PRU 2008, Wan Ubaidah Omar pula menang tanpa bertanding di Dun Kijang dan dilantik sebagai anggota Exco wanita yang pertama di Kelantan. – HARAKAHDAILY 19/7/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!