Dakwah tanpa kuasa politik tak mampu banteras judi

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

KATA
anggota Exco kerajaan Kelantan Nassurudin Daud, golongan ulama perlu ambil tahu berkaitan politik. “Kalau kita tidak ambil tahu, orang lain akan guna politik untuk tekan kita,” katanya ketika merasmikan Ijtimak Pondok Kelantan di Pasir Mas 2 Julai lepas.

Tentunya ramai yang setuju dengan hujah itu. Mengapa tidaknya. Undi18 pun kena faham. Untuk memudahkan kita faham boleh amati contoh begini. Kita lihat peraturan melarang premis perjudian di Kelantan.

Tentunya anak-anak muda hendak tahu bila peraturan itu dikuatkuasa di Kelantan. Ketika mereka lahir peraturan tersebut sudah lama wujud.

Boleh anda tanya ayah atau datuk nenek. Mereka tentunya masih ingat. Sebelum Oktober 1990, Kelantan diterajui Umno dan Barisan Nasional (BN). Sepanjang 12 tahun di bawah pentadbiran Umno sejak 1978, premis judi mudah ditemui di Kelantan.

- Advertisement -

Ada di Kota Bharu, dan bandar-bandar lain di Kelantan. Kita boleh temui kedai Sport Toto dan Magnum di mana-mana. Malah kita pun sering dengar ada orang sebut Loteri Kebajikan Masyarakat (LKM).

Loteri itu wujud sejak sekian lama di negara kita. Malah hasil keuntungan LKM digunakan bagi membina sebuah masjid di Pulai Chondong. Ia berlaku ketika era Tunku Abdul Rahman.

Bagaimanapun masjid tersebut tidak digunakan penduduk tempatan kerana meragui hasilnya daripada kegiatan berunsur haram. Bangunan masjid yang tersergam indah itu terbiar sehingga sekarang.

Akhirnya pada tahun 1991, kerajaan Malaysia menutup operasi Lembaga Loteri yang mengendalikan LKM. Ini kerana ketika itu ramai orang Islam keliru.

Sama ada tiket LKM ditakrifkan sebagai judi atau tidak kerana ia berlabel ‘kebajikan masyarakat’.

Bagaimanapun setelah operasi LKM tidak wujud lagi, kaki judi masih ada banyak pilihan lain. Ini kerana pelbagai jenis judi berlesen terdapat di negara kita.

Pada 1988, Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Loke Yuen Yow memberitahu cukai judi 1987 sebanyak RM1.071 bilion.

Malah Magnum Corporation Berhad membayar cukai sebanyak RM499.8 juta.
Menurut kajian belanja untuk judi berlesen dianggar lebih RM1 bilion setahun.

Dan lebih parah lagi sebanyak RM5 bilion dibelanjakan untuk judi tanpa lesen. Dalam tempoh negara mencapai kemerdekaan pada 1957 sehingga sekarang kerajaan Malaysia belum mengharamkan premis judi.

Usaha ke arah itu tidak dilakukan. Ia bukan bermakna tiada ulama dalam Umno dan kerajaan. Malah berlambak ulama termasuk ada yang balik dari Mesir dan Timur Tengah.

Namun mengapa peraturan melarang premis judi tidak dilakukan. Ia tidak lain kerana tiada kemahuan politik. Bahasa Sains Politik disebut tiada ‘politicall will’.

Malah kalau hendak dikira ulama terkenal juga ramai. Kuliah atau ceramah agama mereka diikuti ribuan pengikut. Apa yang diajar ulama terbabit mudah melekat di hati pendengar.

Ulama terbabit juga mendedahkan tentang hukum halal atau haram. Ulama juga menceritakan perbuatan berjudi berdosa kerana ia sekadar mengharapkan nasib. Tidak sukar untuk anak-anak muda mencari nas al Quran dan pandangan ulama tentang perjudian.

Laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menghuraikan panjang lebar mengenainya. Anak-anak muda patut belek segmen Bayan Linnas.

Antaranya Ibn Hajar al-Haitami menyebut judi merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. Al-Mahalli mengatakan judi bentuk pertaruhan yang diharamkan, terdedah untuk menang atau kalah.

Manakala Al-Mawardi menyebut judi ialah suatu pertandingan menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menang atau tewas.

Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah.

Cuba anak-anak muda belek pula al Quran. Larangan berjudi ada pada Surah al-Maidah: 90 yang bermaksud.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

Bayan Linnas juga menyebut sehingga Julai 2017 di Wilayah Persekutuan sahaja terdapat 3,000 premis perjudian online (atas talian) yang beroperasi di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Jumlah ini dilaporkan meningkat berbanding tahun 2016 yang mencatatkan sebanyak 615 premis perjudian beroperasi di sebalik rumah kedai, pusat internet serta pusat hiburan keluarga.

Namun, selepas PAS menguasai Kelantan pada Oktober 1990 premis judi diharamkan di negeri itu. Begitu juga di Terengganu tidak lagi dikeluarkan lesen premis judi pada 1999.

Dan terbaru di Kedah, apabila lesen premis judi yang tamat tahun ini tidak lagi dibenarkan diperbaharui. Inilah apa yang hendak digambarkan pentingnya kuasa politik Islam. Anak muda perlu benar-benar faham. – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -