Bantuan dan subsidi untuk rakyat tetap diteruskan

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan bukan sahaja tidak mengurangkan, malah meneruskan pelbagai bantuan dan subsidi kepada rakyat, terutama berkaitan minyak dan petroleum.

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan juga memperkenalkan subsidi baharu yang tidak termasuk dalam Bajet 2022, iaitu bagi ayam, telur dan elektrik.

- Advertisement -

Bagi petrol, diesel dan LPG, katanya anggaran keperluan subsidi tahun ini adalah RM37.3 bilion, berbanding RM13.2 bilion pada tahun lalu.

Menurutnya, keperluan subsidi minyak masak pula mencecah RM4 bilion, berbanding RM2.2 bilion pada tahun lalu, dan bagi subsidi kepenggunaan lain, anggaran perbelanjaan adalah RM9.7 bilion berbanding hanya RM1.1 bilion tahun lalu.

“Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat dengan ketara berbanding anggaran Bajet 2022 sebanyak RM332.1 bilion kerana peningkatan subsidi dan bantuan sosial yang mendadak. Jumlah keseluruhan dijangka mencecah RM80 bilion, jauh lebih tinggi berbanding jumlah RM31 bilion ketika Bajet 2022 dibentangkan.

“Langkah ini diambil untuk mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup bagi seluruh rakyat kita ekoran kenaikan harga komoditi dunia, katanya menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul, berkata harga minyak mentah dan sawit yang lebih tinggi tahun ini dijangka akan menjana hasil cukai tambahan melebihi RM10 bilion.

Katanya, momentum pemulihan melebihi jangkaan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku pertama tahun ini amat memberangsangkan pada kadar lima peratus dan dijangka lebih kukuh pada suku kedua.

“Berdasarkan perkembangan itu, kita bakal menerima hasil tambahan berkaitan cukai pendapatan serta cukai tidak langsung melebihi RM10 bilion lagi. Namun, semua peningkatan hasil ini tidak mencukupi untuk menampung peningkatan subsidi yang melebihi RM540 bilion,” katanya.

Memandangkan harga komoditi global dijangka akan kekal pada paras tinggi untuk separuh tahun kedua 2022, katanya strategi kerajaan ialah menilai semula keberkesanan setiap program subsidi dan insentif yang dilaksanakan serta terus meneliti sumber hasil dan penjimatan tambahan bagi menampung keperluan tambahan subsidi bagi separuh tahun kedua 2022.

Katanya, Kementerian Kewangan juga mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaaan 3.1 pada 14 Julai 2022 mengenai langkah penjimatan untuk dilaksanakan oleh semua kementerian dan agensi kerajaan bagi menampung sebahagian daripada keperluan subsidi tambahan.

“Antara langkah pekeliling tersebut adalah kawalan terhadap lawatan ke luar negara, barangan import, serta penangguhan perbelanjaan yang belum komited. Namun, saya juga ingin menegaskan bahawa langkah-langkah yang berpaksikan kesejahteraan rakyat akan tetap diteruskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/22