Sungguh kita marah, tapi tangani ikut perundangan

- Advertisement -

SEBELUM kejadian seorang lelaki menghina Islam, Allah dan Nabi dipukul oleh orang ramai, saya telah diwawancara oleh Malaysia Gazette mengenai insiden di kelab komedi dan saya menegaskan;

“Ya, kita marah akan perlakuan itu tetapi dalam kemarahan kita Islam sentiasa mengajar untuk menjaga adab dan akhlak. Kita tidak boleh mencarut, menghina, melaknat dan sebagainya ketika kita tulis komen atau cakap soal itu,” ulasnya.

https://malaysiagazette.com/2022/07/12/tanggungjawab-kerajaan-ambil-tindakan-ke-atas-wanita-hina-islam-firdaus

Prinsip saya konsisten dari dulu. Saya juga marah sebagaimana saudara seagama yang lain. Ya saya juga ada menonton video dia sambil menahan kemarahan saya. Sebagai orang yang beriman, pasti kita akan merasa marah.

Saya faham perasaan segelintir sahabat yang mahu memukulnya apabila dia secara terang-terangan mencabar orang Islam bukan sahaja memukulnya tetapi lebih dari itu. 

Saya faham tetapi tatkala kita marah orang lain menghina Islam, Allah dan Nabi lalu kita mahu mempertahankan Islam, maka kita perlu pertahankan Islam dengan mengikut cara yang Islam gariskan buat kita semua.

Nasihat saya buat diri saya dan sahabat semua, jangan, ya please jangan ambil tindakan sendiri walaupun orang yang menghina Islam sangat melampau. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;

- Advertisement -

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

(an-Nisaa’: 59)

Peristiwa begini bukannya yang pertama dan Insya-Allah bukannya yang terakhir. Serahkan urusan mereka yang menghina Allah kepada pemerintah yakni kerajaan. Andai kerajaan tidak mengambil tindakan, maka kita sebagai orang yang beriman yakin bahawa pemerintah akan menjawab di Padang Mahsyar kelak.

Bayangkan apa yang akan terjadi andai kita sewenang-wenangnya mengambil tindakan sendiri? Akan terjadi huru-hara. Kita geram, kita marah tetapi jangan bertindak mendahului atau membelakangkan undang-undang. 

Orang yang menghina Islam sedang diuji dan kita yang beriman juga sedang diuji. Kita semua sedang diuji. Sabar bukan bermakna tiada tindakan mahupun emosi tetapi sabar adalah kita beremosi dan bertindak mengikut panduan Islam, dalam kes seperti ini, serahkan kepada pihak pemerintah untuk mengambil tindakan.

Kita perlu pertahankan Islam dengan menurut cara Islam bukannya menurut hawa nafsu dan logik kita semata-mata. Allah turunkan syariat untuk diikuti agar kita hidup bersyariat tanda ketaatan padaNya.

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 18/7/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/773088628/posts/pfbid02ezJ527tVHfDZcLAWh3doQuKRpBTAjD9863mgwTKWHeWG39W2EZjV6kPz29E4momsl/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -