Sumber hasil hutan: Kerajaan negeri juga berhak

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk mengimbangi keperluan kerajaan negeri dan pusat dalam membuat keputusan membabitkan sumber hasil hutan.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga mempunyai hak dalam mendapatkan hasil hutan memandangkan ia merupakan salah satu sumber hasil pendapatan.

- Advertisement -

“Saya berpendapat Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 ini perlu mengimbangi keperluan bagi kedua-dua pihak.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini untuk memberi pampasan kepada kerajaan negeri yang mengekalkan hutan simpan.

“Tindakan ini bagi memperolehi situasi menang kepada kedua-dua pihak, contohnya kerajaan negeri Kedah yang sentiasa mengekalkan hutan simpan kekal,” katanya semasa membahaskan RUU Perhutanaan Negara (Pindaan) 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ahmad Tarmizi, pindaan RUU itu sukar untuk diimplementasi secara menyeluruh jika tiada pindaan yang jelas mengenai penguatkuasaan di peringkat negeri.

Beliau berpandangan, pindaan itu tidak akan memberi kesan selagi tidak disambut baik oleh kerajaan negeri tanpa penyelarasan pindaan.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi juga memohon Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) meniliti kesan banjir yang berlaku di Sik.

Katanya, pihaknya mendapati berlaku penebangan hutan di beberapa kawasan di Hutan Rimba Teloi yang menyebabkan banjir pada 27 Jun lalu sehingga memberi kesan kepada lebih 200 keluarga.

“Saya memohon pihak kementerian meniliti kesan-kesan yang telah berlaku, seperti runtuhan tanah dan tebing, sungai menjadi sempit dan terhakis,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -