Presiden PAS seru generasi kini terus pertahan Islam

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Generasi hari ini wajib bersama menunaikan tanggungjawab mempertahankan Islam daripada sebarang tindakan musuh biarpun berhadapan cabaran yang sukar, demikian seru Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pun demikian katanya, serangan untuk menghina dan menumpaskan Islam tidak akan menjatuhkan mahupun mengurangkan kekuasaan Allah SWT dan kedudukan Nabi Muhammad SAW.

“Allah Taala tetap memelihara agama-Nya, memelihara Rasul-Nya. Cahaya Islam tak boleh dipadamkan sekali-kali. Kita saksikan contoh berlaku di negara Sepanyol, Islam memerintah selama 800 tahun oleh Sepanyol. Sebab kealpaan umat, jatuh Islam. 

“Tinggal istana, tinggal bangunan, orangnya tak ada. Kubur orang Islam pun tak ada. Batu-batu kubur diambil dipunggah habis semua, dibongkar. Pada adatnya dah tamat dah Islam di Sepanyol. Tiba-tiba bila ada demokrasi di Sepanyol, muncul balik, ada lagi orang Islam di Sepanyol. 

“Begitu di negara Komunis. Komunis sangat dahsyat menentang Islam di zaman Komunis boleh berkuasa. Zaman Mao Zedong, Revolusi Kebudayaan, dibunuhnya ulamak-ulamak, dirobohnya masjid. Masjid tukar jadi kandang babi. Yang berhijrah, berhijrah. Yang mati, mati. Yang muda-muda tak benar dididik. 

“(Tetapi akhirnya) Apa yang berlaku? Komunis hancur. Orang Islam muncul balik di Asia Tengah. Muncul balik. Ini berlaku. Ini kekuatan Islam yang kita kena sedar. Islam tak boleh dihapuskan sekali-kali sampai bila-bila,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Syarahan Perdana Ulamak Negarawan dan Pelancaran Yayasan Permata Ummah di The Everly Hotel, di sini semalam.

Beliau turut mengupas motivasi Nabi Muhammad yang meletakkan bahawa cabaran dihadapi Baginda dalam memperjuangkan Islam tidak seberat pernah dilalui antaranya oleh Nabi Musa AS, Nabi Nuh AS dan Nabi Ayub AS.

“Jadi kalau kita ingat benda-benda yang macam ni, menambahkan kekuatan kita. Dengan sebab itu kita digalakkan, beruzlah, mengasingkan diri, bertahajud di waktu malam. Tak ada orang, orang tidur, kita dengan tuhan je. 

“Kita dengan tuhan saja. Masa itulah ikhlasnya, orang tak ada tengok, TV tak ada ambil gambar kita. Kita seorang-seorang je. Ha, masa itulah kita fikir, bila fikir tentang syurga, segala tawaran-tawaran dunia kepada kita ni kecil je banding dengan syurga. 

“Bila orang ancam kita dengan kesusahan, ingat ke neraka, kecil je kalau banding dengan neraka. Bila kita fikir-fikir benda macam ni akan menambahkan kekuatan dan semangat kepada kita wallahua’lam,” serunya. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -