PAS rakam takziah kepada keluarga Allahyarham Khairul Azlam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga wartawan Harakah negeri Terengganu, Allahyarham Khairul Azlam Mohamad yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 4:30 pagi tadi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, semasa hayat, Allahyarham telah banyak memberi sumbangan kepada perjuangan parti melalui dunia kewartawanan dan penulisan.

“Pemergian ini pastinya menjadi satu kehilangan besar buat PAS, khususnya keluarga besar Harakah.

“Sama-sama kita doakan semoga Allah mengampuninya, merahmatinya, memuliakan kematiannya, melapangkan kuburnya dan menempatkannya bersama orang-orang beriman serta beramal soleh,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Khairul Azlam, 51, yang juga Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu meninggal dunia di rumahnya di Taman Perumahan Permint Perdana di Seberang Takir, Kuala Nerus akibat sesak nafas.

Memetik laporan Bernama, isteri Allahyarham, Wan Sabariah Wan Musa berkata, Allahyarham meninggal dunia secara mengejut selepas mengadu sakit dada ketika sedang menyiapkan kerja di rumahnya.

Katanya, Allahyarham pulang ke rumah kira-kira jam 1.00 pagi tadi dan selepas itu menyambung kerja di rumah.

Bagaimanapun, ujarnya kira-kira jam 4.00 pagi, Allahyarham tiba-tiba mengadu sakit dada dan sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri.

Tambahnya, ambulans tiba kemudian dan mengesahkan bahawa suaminya sudah tiada.

Beliau berkata, sebelum kejadian, Allahyarham sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -