Kilau senjata pahlawan tanpa nama…

- Advertisement -

Oleh AZAMIN AMIN

- Advertisement -

PELUH lenjun baju melayu warna kelabu yang dipakainya. Songkoknya sedikit lusuh senget ke tepi. Hari itu hari Jumaat. Dia datang dari jauh dengan hanya menaiki bas. Dia tiada kereta hatta sebuah basikal tua. Dia bersendirian tanpa teman seperti kelaziman rombongan lain yang menderu daripada segala pelusuk negara.

Di tangannya digenggam kemas sekeping poster renyuk bagi tujuannya itu. Selepas solat, dia dan gerombongan orang ramai berarak, menyatakan bantahan besar-besaran atas penindasan yang dilakukan. Bermula daripada Masjid Kampung Baru sehingga berakhir di Kedutaan Amerika, berhampiran Kompleks Tabung Haji. Selesai berasak-asak, setelah menunjukkan tanda bantahan atas kezaliman pemerintah ketika itu, dia pun pulang ke pangkuan keluarganya, yang serba miskin, menetap di rumah kecil di Negeri Sembilan.

“Dah biasalah Azamin…yang penting semangat itu sentiasa ada,” katanya bersahaja sambil membahasakan dirinya sebagai Suhairi, ketika saya berbual santai setelah selesai satu demonstrasi. Sebenarnya dia sering ditemui bila adanya siri-siri demonstrasi besar-besaran di ibu kota. Demonstrasi demi rakyat, demonstrasi demi Palestin mahupun demonstrasi membela perjuangan agama tercinta. Bantah harga barang naik, harga minyak naik, mansuhkan ISA, mansuhkan PPSMI dan pilihan raya Bersih.

Kelibatnya pasti ada. Dia datang tanpa tajaan atau menumpang orang. Semuanya guna duit poket sendiri. Dia tidak pernah meminta atau merayu simpati, jauh sekali bercerita tentang apa yang diperlukan. Tatkala saya belanjanya menjamu selera, sesungguhnya saya tahu betapa daifnya dia. Bersungguh dia makan. Dia sangat lapar sebenarnya. Kasihan dia.

Suatu hari dalam satu rombongan ‘Misi Kemanusiaan’ membantu golongan yang memerlukan, bersusah payah dia menyeret sebuah beg hitam buruk yang besar ke kampung tempat kami ingin tujui itu. Dia seorang sahaja yang buat begitu, lain-lain anggota rombongan tak bawa apa-apa-apa sebab kami datang untuk bergotong-royong dengan masyarakat kampung di situ. Sangka saya dan kami semua, beg itu mengandungi pakaian atau barangan keperluannya. Tekaan itu salah. Bukan.

Beg itu, ada berpuluh helai pakaian terpakai, buku-buku kosong, pensil-pensil dan sebungkus gula-gula yang ingin disedekahkan kepada orang-orang kampung terutamanya kanak-kanak yang tidak bernasib baik. Malunya saya dan kami semua kerana tak buat sumbangan seperti dia. Ini bukan kejadian di Malaysia, tetapi di Mindanao, Filipina.
Jauh dia membawa dan menggedong beg buruk itu. Semuanya dilakukan ikhlas tanpa minta dibelas. Sepatutnya ihsan dan kasihan adalah untuk dirinya tapi dia tidak pernah meminta walaupun dia juga agak daif seperti orang di sana.

Suatu ketika di Raub, Pahang saya bersua pula dengan seorang lelaki berkulit agak gelap sawo matang. Rambutnya berketak-ketak. Tinggal di ceruk kampung bersama isteri dan lima orang anak-anak yang masih kecil. Saya dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah ketika itu Ahmad Lutfi Othman (Allahyarham Lutfi telah kembali ke Rahmatullah sehari sebelum Aidiladha baru-baru ini), kami ke sana untuk membuat liputan pilihan raya kecil Batu Talam yang mana PAS akhirnya memboikot Pilihan Raya Kecil itu.

Lelaki itu kerja kampung dan sukarelawan parti yang cukup taat. Dialah yang menjadi jurupandu arah kepada saya dan Lutfi, untuk bawa sekitar melihat kawasan termasuk perkampungan orang asli. Selesai tugas sampai malam, kami berdua mohon berundur untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Namun dia bersunguh-sungguh pula meminta kami menjamu sedikit juadah yang disajikan di rumah kecil dan sempitnya itu. Tak gamak menolaknya, lalu kami pun menjamah. Hidangannya cuma nasi putih dan daging masak kicap yang dimasak isterinya. Ketika makan, saya nampak anak-anak kecilnya terintai-intai di balik tirai koyak di ruang dapur mereka. Mungkin mereka ini belum makan, gayanya.

Selesai kenyang, saya dan Lutfi berbasa basi dengannya dan memang sungguh pun, makanan ringkas itu sungguh lazat dagingnya itu. Dia merendah diri seraya berkata perlahan. Daging itu sebenarnya, daging yang disembelih dan dijamu sempena kehadiran seorang pemimpin utama PAS Pusat ke kawasan itu bersama masyarakat kampung. Jamuan rakyat, katanya yang mesra di panggil Manir.

“Jadi masa itu ada daging mentah lebih sedikit mereka bagi kat saya hari tu, alhamdulillah rezeki tuan-tuan berdualah malam ini…”kata Manir berkulit gelap itu.

Rasa mula nak sebak. Saya cuba tahan. Dia yang susah namun masih sudi serta sanggup melayan tetamu. Entah-entah anak isterinya pun belum menjamu daging itu. Allahurabbi.

Setelah bersalaman Lutfi minta diri dan saya tanpa sengaja bertanya Manir sudah berapa lama tinggal di rumah kecil itu memandangkan rasa ‘aneh’ kerana bentuk rumah itu seperti balai raya sahaja. Yalah, malam tak berapa jelas sangat dengan lampu yang samar-samar.

“Maaf tak bagitau tadi…ini markas lama PAS, saya sekeluarga tumpang sementara sebab dua minggu lepas rumah kami musnah terbakar,” katanya dengan nada tersekat.

Ya Allah Ya Tuhanku. Kami bertemu insan baik hati meskipun diuji tidak terperi. Allah jualah tempat ganjaran dan galang ganti dan dalam perjalanan pulang ke ibu kota, air mata saya tumpah tanpa henti.

Dua kisah kecil ini mungkin biasa sahaja bagi kebanyakan orang atau pembaca namun ianya sangat besar ertinya malah saya takkan lupa sampai bila-bila. Mereka inilah digelar ‘pahlawan tanpa nama’. Tetap terus berjuang biarpun dilandai ombak kehidupan.

Kisah ini antara banyak-banyak kisah pahlawan tanpa nama. Mereka ini tak pernah minta dijunjung nama, namun mereka tetap setia dan ada di mana-mana sahaja. Saya bertuah menjadi saksi mata dan menyimpan penuh pelbagai kisah liku-liku mereka, pahlawan- pahlawan tanpa nama.

Ada yang yang serba susah dan sakit dan kehidupun cukup menghimpit. Ada yang diancam, diugut, ditangkap serta dipenjara namun tak gentar walau sekelumit cuma. Ada juga yang tercedera ketika memacak bendera. Tidak lupa juga kisah luka dan derita, sehingga terbunuh kerana mempertahankan pemimpin tercinta dan agama. Kampung Memali pernah menjadi saksinya.

Mereka bukan siapa-siapa. Hanya mungkin seorang penoreh getah, penjual buah, pemandu teksi, cikgu sekolah, pasukan keselamatan, tukang kebun, kerja kilang, swasta atau kerja sendiri. Ada yang tolong edar akhbar dan risalah, sampaikan dakwah, gantung bendera, bungkus makanan, susun kerusi meja, kawal lalu lintas, keluarkan duit sendiri untuk derma bahkan selamatkan nyawa!

Tiada siapa mengangkat cerita mereka jauh sekali untuk mengingati mereka yang menyumbang bakti. Mereka adalah pejuang setia. Berjuang di sebalik tabir. Di sebalik sebuah kejayaan perjuangan, mereka kekal setia di belakang, yang pernah berkorban dan telah pun terkorban.

Seandainya sesekali terserempak mereka, sapalah dan tegurlah. Jangan cemuh, hina atau aniaya mereka. Doakanlah buat mereka yang tidak pernah mengharapkan apa-apa. Kasihan mereka. Dipanggil, mereka datang, disuruh, mereka pulang.

Ini bukan kisah pecah panggung. Ini hanya secebis kecil kisah-kisah pahlawan tanpa nama. Tiada kilau senjata. Hanya ikhlas di dada.

(Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Harakah dan merupakan anak didik Allahyarham Ahmad Lutfi Othman, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah yang sudi ‘memungut’ dan ‘mengutip’ penulis sekaligus percaya akan kemampuan penulis sebagai seorang wartawan yang boleh berjaya.

Moga pembaca sudi mendoakan agar Allah merahmati dan mengampuni beliau. Penulis masih hilang kata-kata atas pemergiannya. Salam takziah buat keluarga, moga tabah hadapi ujian Allah. Penulis boleh dihubungi atau sesiapa ingin memberi pandangan melalui WhatsApp di talian 019-6479080). – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -