Banyak laporan keluarga runtuh akibat arak dan judi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sudah banyak laporan dan berita berkenaan keruntuhan institusi keluarga akibat arak dan judi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata demikian susulan Kempen Pencegahan Jenayah Syariah Tahun 2022, hari ini.

“Alhamdulillah dengan semangat di setiap langkahan melaksanakan tugas, hari ini bersama dalam dalam Majlis Perasmian Kempen Pencegahan Jenayah Syariah Tahun 2022 anjuran Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bermula hari ini hingga 22 Julai 2022,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Tambahnya, topik yang dibicarakan pada seminar pada hari ini ‘Jenayah Arak Dan Judi Daripada Perspektif Perundangan Syariah Dan Sivil’ sangat dekat dan releven dengan keadaan semasa di negara ini.

- Advertisement -

“Manakan tidak kita sentiasa melihat di dada akhbar berkenaan dua isu tersebut dan ia sangat membimbangkan dan merisaukan kita semua.

“Dengan pemilihan kedua-dua topik ini, saya yakin persidangan dan kempen ini akan lebih terarah dan berfokus,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi terhadap kejadian yang menghina kesucian agama Islam dan tindakan tegas akan terus diambil.

Idris yakin masyarakat juga mahu tindakan tegas diambil kepada pihak-pihak yang berkaitan.

Menurutnya, pengharaman arak dan judi jelas di dinyatakan dalam Al Quran dan agama, sudah banyak laporan dan berita berkenaan keruntuhan institusi keluarga akibat arak dan judi.

Sehubungan itu, katanya semua lapisan masyarakat perlu berperanan mencegah dan membanteras jenayah arak dan judi daripada terus menjadi barah dalam masyarakat.

Beliau berharap semoga Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022 dapat diperluas ke negeri-negeri lain agar masyarakat lebih faham dalam mematuhi syariat dan menjauhi maksiat.

“Tahniah kepada JAKIM dan semua pihak yang bersama-sama menjayakan program yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/7/2022