APR giat tingkat kesedaran pengundi muda

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato' Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
- Advertisement -

Oleh: NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Akademi Pilihan Raya (APR) di bawah seliaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini sedang giat dan aktif melaksanakan Program Pendidikan Pengundi, melalui kerjasama pelbagai organisasi yang terlibat sepenuhnya dalam aspek golongan belia di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi  Tuanku Jaafar berkata, matlamatnya adalah bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan untuk keluar mengundi dalam kalangan pengundi muda.

- Advertisement -

Menurutnya, antara agensi-agensi kerajaan yang kini aktif bekerjasama dengan APR ialah Kementerian Belia dan Sukan, agensi Kementerian Pendidikan Malaysia; Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti-universiti Awam; Kementerian Kesihatan Malaysia dan institut-institut latihan di bawahnya.

“Turut terbabit ialah Kementerian Sumber Manusia dan institut-institut latihannya; serta, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan agensinya seperti Jabatan Penerangan Malaysia.

“Agensi-agensi ini telah merangka program masing-masing dalam memastikan capaian ilmu pengetahuan mengenai pilihan raya itu sampai kepada golongan sasar terutamanya kumpulan anak muda yang merupakan pengundi kali pertama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (UMNO-Baling) yang meminta kerajaan menyatakan program dan formula yang akan dirangka kerajaan untuk meningkatkan kesedaran pengundi muda terhadap tanggungjawab bagi keluar mengundi, pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini,  hari ini.

Menurut Wan Junaidi, agensi-agensi berkenaan telah merangka program masing-masing dalam memastikan capaian ilmu pengetahuan mengenai pilihan raya itu sampai kepada golongan sasar terutamanya kumpulan anak muda yang merupakan pengundi kali pertama. 

Selain itu, ujarnya, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan juga dilibatkan sebagai satu tindakan inklusif bagi memberikan kesan positif dalam mendekati golongan anak muda ini dan seterusnya mendidik mereka menjadi pengundi berpengetahuan dan keluar mengundi ketika pilihan raya.

“Dengan berkuatkuasanya penurunan had umur pemilih daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021, APR kini  giat dan aktif melaksanakan program pendidikan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2022