Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
Harimau Muda merangkul Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) AFF 2022 dengan penuh bergaya apabila dua gol yang membolosi gawang Laos, membalas dendam kekalahan kepada negara itu dalam perlawanan peringkat Kumpulan B.
Dalam perlawanan di Stadium Patriot Candrabhaga di Bekasi, Indonesia, malam ini, Malaysia menemui suasana yang sempurna untuk melupakan kekalahan 0-1 kepada Laos.
Dalam aksi final, Malaysia bermula hambar apabila pemain sayap utama, Najmudin Akmal Kamal Akmal, terpaksa diusung keluar pada minit ke-10 akibat kecederaan, memaksa jurulatih Hasan Sazali Waras melakukan pertukaran awal dengan membawa masuk Haykal Danish Mohd Haizon.
Namun, ini tidak mematahkan semangat Harimau Muda apabila Malaysia menjaringkan gol pertama pada minit ke-13 apabila pemain pertahanan tengah, Faiz Amer Runnizar, menanduk bola melepasi penjaga gol Laos, Phounin Xayyasone.
Perlawanan selepas itu agak seimbang, tetapi hujan lebat sebelum perlawanan menyukarkan kedua-dua pihak mencipta peluang berbahaya kerana keadaan padang yang teruk.
Pada separuh masa kedua, Laos meningkatkan tempo permainan dan muncul pasukan yang lebih baik dengan penguasaan bola dan peluang yang lebih baik. Namun penjaga gol negara, Syahmi Adib Haikal, beraksi cemerlang menafikan percubaan demi percubaan Laos.
Namun, kelebihan itu terhenti pada minit ke-75 apabila pemain sayap, Aliff Izwan Yuslan, membuat penyudah cantik dengan meledakkan jaringan hasil hantaran Alif Farhan Fauzi dari sebelah kanan.


Gol itu mematahkan semangat Laos dengan Malaysia terus mengasak pertahanan lawan dengan Haiqal Haqeemi, menjadi arkitek terhadap banyak percubaan berbahaya ke kubu lawan.
Malaysia mengekalkan kedudukan itu hingga berakhir perlawanan dan menjulang Kejuaraan B-19 AFF buat kali kedua selepas kali pertama menewaskan Myanmar 4-3 pada 2018.
Sementara itu, penentuan tempat ketiga yang turut berlangsung di gelanggang sama pada sebelah petang diungguli Vietnam yang menewaskan Thailand 5-3 menerusi sepakan penentuan penalti selepas terikat 1-1.
Thailand yang juga juara lima kali terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Sittha Boonlha pada minit ke-42, namun Nguyen Quoc Viet menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-53. – HARAKAHDAILY 15/7/22
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!