Jaulah LESTARI: Menyantuni anak seni dan aktivis budaya

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

- Advertisement -

PROGRAM LESTARI pusat selama tiga hari, Jaulah LESTARI 2022 bermula di Terengganu Darul Iman, di mana ahli jawatankuasa LESTARI bersama Ustaz Dr Mohd Khalil Abdul Hadi mengadakan sesi menonton Filem Mat Kilau di panggung patuh syariah di Kuala Terengganu.

Filem ini akan menjadi turning point kepada kebangkitan filem-filem patuh syariah dan filem yang bernuansakan perjuangan menentang penjajah, yang digerakkan oleh para alim ulamak. LESTARI bersetuju supaya tema ulamak dan pejuang diangkat oleh penerbit-penerbit filem negara ini.

Rombongan LESTARI seterusnya melawat makam Tokku Paloh yang terletak di Kampung Paloh, Kuala Terengganu. Sayid Abdul Rahman bin Sayid Muhammad al-Idrus yang merupakan penasihat kepada Sultan Zainal Abidin III, yang merupakan antara tokoh yang telah menyembunyikan Mat Kilau dan pejuang-pejuang Pahang semasa persembunyiannya di Terengganu, dan di sanalah pejuang-pejuang Pahang dan Mat Kilau didedahkan dengan ilmu-ilmu berkaitan tentang jihad dalam Islam, di mana perjuangan menentang penjajahan hendaklah ditegakkan atas semangat “Jihad Fi Sabilillah”.

Rombongan kami juga telah melawat kubur Sayyid Saqaf yang merupakan ketua kepada Sakerat Islam Terengganu. Makam Sayyid Saqaf yang merupakan anak kepada Tokku Paloh juga terletak di Tanah Perkuburan Kampung Paloh, Kuala Terengganu. Sayyid Saqaf merupakan antara individu yang terlibat menghimpunkan seramai 700 orang ahli-ahli Sarekat Terengganu sehingga berlakunya Perang Padang Kacuk pada 1928.

Seterusnya rombongan bergerak pula ke Selangor untuk menziarahi anak-anak seni yang diuji dengan kesakitan dan keuzuran. Kami menziarahi Puan Mek Habsah, yang merupakan seorang bekas pelakon yang dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur dan menyampaikan sumbangan cenderamata dari pihak LESTARI.

LESTARI juga turut menziarahi Saudara Ali XPDC di Seri Kembangan, yang mana beliau baru-baru ini mengalami major stroke dan masih berehat di rumah dan tidak bekerja. Beliau juga turut berehat dari segala aktiviti seni kerana mengalami gangguan vokal akibat strok yang beliau hidapi.

Rombongan LESTARI seterusnya bergerak ke Sendayan, Negeri Sembilan untuk menziarahi salah seorang daripada ahli jawatankuasa LESTARI, dan Ketua Editor Harakah, Ustaz Wan Nordin Wan Yaacob yang juga diuji dengan keluarganya yang mengalami masalah kesihatan.

Manakala Jaulah LESTARI ke Johor telah menziarahi anak-anak seni seperti Saudara Aim daripada Kumpulan Crossfire yang juga seorang penerbit dan penggubah lagu.

Aim yang dulunya seorang vokalis Kumpulan Crossfire yang terkenal dengan lagu “Realiti dan Fantasi” pada Tahun 1989 dahulu. Bekas penyanyi berusia 53 tahun ini juga telah menjadi penggubah lagu PAS.

Ziarah anak seni di Johor juga telah berkunjung ke Pejabat Persatuan Seni Batu Pahat, di mana kami menziarahi Saudara Enal bekas pemain bass Kumpulan Metafora.

Pejabat Persatuan Anak-anak Seni Batu Pahat ini terletak di tengah-tengah bandar yang dilengkapi sebuah studio jamming untuk menghimpunkan anak-anak seni.

Seterusnya, rombongan LESTARI ke rumah Saudara Kamaruddin bin Kerpol, Pengerusi LESTARI Johor bagi meraikan Majlis Perkahwinan anak sulung beliau.

Di majlis ini juga, penyanyi tersohor, Dato’ Ramli Sarip turut menyumbangkan sebuah lagu untuk diperdengarkan kepada para tetamu di Majlis Walimatulurus anakanda Encik Kamaruddin bin Kerpol.

Memandangkan banyak kejayaan daripada program ini, InsyaAllah LESTARI merancang pada masa akan datang Jaulah LESTARI Pusat di negeri-negeri utara semenanjung.

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI. – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -