Jasa Islam: Perempuan mendapatkan keperibadiannya

- Advertisement -

ISLAM membawa perubahan paling besar dalam sejarah dunia. Islam mengubah dan memperbaiki keadaan wanita yang bukan sahaja direndahkan martabatnya bahkan sadis sejarahnya. [Lihat surah an-Nahl: 58-59]

Mereka boleh saja dibunuh semasa bayi. Mereka tidak dianggap cukup penting untuk diberikan sebarang hak undang-undang. 

Mereka dianggap jauh lebih rendah daripada lelaki dan perdebatan juga diadakan sama ada mereka ini mempunyai jiwa atau tidak. [Lihat sejarah gelap Barat]

Ini adalah semua perkara yang menyedihkan yang akhirnya diperbetulkan oleh Islam.

Jasa Islam

Di bawah ketamadunan Islam, pendidikan dan ilmu adalah hak utama yang diberikan kepada wanita. Wanita boleh terlibat sama dalam aktiviti membuat undang-undang. Setelah itu mahir pula dalam bidang ilmu hadis, tafsir dan feqah.

Pada waktu yang sama, di Barat sangat sedikit wanita yang mendapatkan hak ini. Hanya sejak dari abad ke-19 barulah mereka mendatangkan diri ke universiti. Sedangkan wanita Islam bukan hanya sekadar menjadi seorang ilmuan, pendidik bahkan juga menjadi pendiri universiti.

Wanita Islam juga dibenarkan mengikuti peperangan, dan ada sejumlah signifikan wanita Islam yang terlibat dalam peperangan penting yang telah pun dimuatkan dalam sejarah Islam.

Kedatangan Islam memang tak hanya fokus pada kemaslahatan satu kaum tertentu saja, mengenai perempuan banyak hak mereka yang Islam angkat:

1. Wanita diberi hak memilih pasangannya.

Seperti yang berlaku dalam kisah Khansa binti Khidam. Dia menemui Rasulullah S.A.W kerana tidak bersetuju atas keputusan ayahnya menjodohkannya dengan lelaki yang tak dikehendakinya.

Khansa berdialog panjang dengan Nabi, diberikan ruang untuk menyatakan pandangannya dan akhirnya Nabi membatalkan pernikahannya.

2. Ketika tamadun lain menganggap kehamilan sebagai hukuman atas kelemahannya, Islam menghormati kehamilan dan keibuan:

- Advertisement -

“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah pula…”

(al-Ahqaf: 15)

3. Pengiktirafan yang sama.

Dalam diskusi antara Asma’ binti Umais dan Umar al-Khattab tentang status ‘Hijrah’ umat Islam, Asma’ isteri kepada sepupu Nabi S.A.W, Jaafar Bin Abu Talib, merupakan salah satu dari mereka yang berhijrah ke Habsyah. Setelah itu barulah berhijrah ke Madinah.

Mereka berdiskusi yang mana lebih tinggi kredit hijrahnya, sama ada yang berhijrah ke Habsyah lalu ke Madinah atau yang langsung terus ke Madinah. 

Umar R.A mengatakan, “Kami berhijrah ke Madinah dengan Nabi S.A.W sebelum kalian ke sini, dan tentulah kami lebih berhak terhadap Nabi berbanding kalian.”

“Tidak.” Bidas Asma’ R.A lalu menjawab pernyataan Umar dengan kemarahan, “Demi Allah. Tidak, kalian tinggal bersama dengan Rasulullah. Orang-orang yang lapar di antara kalian, mendapatkan makanan. Dan orang-orang yang tidak tahu, mendapatkan peringatan,” kata Asma.

Sambungnya lagi “Sedangkan kami berada di negeri yang jauh dan dibenci, Habsyah. Kami melakukannya kerana Allah dan Rasulullah S.A.W.”

Setelah itu Asma’ bertemu Nabi S.A.W, menceritakan dialognya dengan Umar R.A, Nabi S.A.W menjawab yang bermaksud, “Tidak ada yang lebih berhak atasku baik kalian atau dia. Umar dan Sahabatnya tidak mendapatkan lebih darimu, mereka memiliki satu hijrah, sedangkan kalian, para penumpang perahu (ahlus safinah), memiliki dua hijrah.”

4. Pengiktirafan keilmuan.

Nabi S.A.W juga memberi kredit terhadap kebijakan wanita Islam dengan Baginda mendengarkan pendapat dan kebijakan mereka.

Sepertimana yang berlaku dalam krisis Perjanjian Hudaibiyah. Ramai di kalangan para Sahabat tidak bersetuju dan tidak berpuas hati dengan keputusan Rasulullah S.A.W kerana seolah-olah ianya terasa sangat merugikan kaum Muslimin dan sebaliknya menguntungkan kaum Musyrikin. Setelah selesainya penandatanganan itu, Rasulullah S.A.W berkata kepada para Sahabatnya yang bermaksud:

“Bersiap-siaplah, sembelih binatang korban dan cukurlah rambut kalian.”

Namun di saat itu, tidak ada seorang pun para Sahabat yang melaksanakan arahan Rasulullah S.A.W.

Atas nasihat isteri Baginda S.A.W, Ummu Salamah R.A berkata, “Wahai Nabi Allah, apakah engkau ingin para Sahabatmu melaksanakan arahanmu? Keluarlah dan jangan berbicara dengan sesiapa pun sebelum engkau menyembelih haiwan korbanmu dan memanggil pencukur untuk mencukur rambutmu.”

Rasulullah menerima pandangan dan cadangan Ummu Salamah dan melaksanakannya. Ketika para Sahabat melihat hal itu, mereka terus bangun dan menyembelih binatang korban serta mencukur rambut mereka.

Krisis ini berjaya diselamatkan Ummu Salamah R.A.

5. Jaminan hak milik.

“Orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.”

(an-Nisa’: 7)

6. Islam memuliakan status isteri.

Nabi S.A.W selalu berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada isteri mereka yang bermaksud:

“Sebaik-baik kalian, adalah orang yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteriku.”

(Riwayat Tirmizi)

Tidak dilupakan, pesanan terakhir Baginda S.A.W di dalam khutbahnya yang bermaksud;

“Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.“

Muslimah liar, tabiat jahiliyyah

Melihatkan seorang wanita Muslimah yang tidak segan silu merendahkan martabatnya demi slogan kebebasan. Sedangkan manusia yang secara fitrahnya tidak boleh dibiarkan hidup sebebas-bebasnya hingga terbabas menjadi haiwan. 

Manusia punya maruah dan integriti yang perlu dipelihara.

Betapa Islam bersungguh-sungguh memuliakan wanita, meletakkannya di tempat yang tinggi. Alangkah ruginya kita meninggalkan Islam. 

Apa yang pasti, mereka yang merasa cukup bebas di dunia tidak akan bebas di akhirat. Semuanya akan disoal Allah S.W.T.

واغفرلنا ربنا، إنك أنت العزيز الحكيم

AINNUR UKHTA UWAIS – HARAKAHDAILY 15/7/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100006004746873/posts/pfbid02UZvZQNzCVdbUevpYAZMkjGkVhD5nGPAaqfUbAdH8aDqGFUUMi4Cj7EuHyZyRGPhyl/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -