Isu Sultan Sulu: Siasat teori ‘orang dalam’ salur maklumat

Pendirian kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob yang tegas dan ampuh terhadap isu tuntutan waris Kesultanan Sulu, jelas terserlah.
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Isu hangat waris Sultan Sulu yang didakwa merampas aset PETRONAS di Azerbaijan menimbulkan persoalan kemungkinan penglibatan ‘orang dalam’ yang menyalurkan maklumat kepada pasukan guaman pihak berkenaan.

Pensyarah Kanan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Dr Azman Yusof berkata, beliau bimbang penglibatan ‘orang dalam’ yang menyalurkan maklumat kepada waris Sultan Sulu dan pasukan guamannya untuk mencari jalan merampas hak pemilikan Malaysia di luar negara.

- Advertisement -

“Kenapa mantan Peguam Negara semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Tommy Thomas tidak menghantar wakil Malaysia ketika proses timbangtara dibuat.

“Tetapi sebaliknya menghantar surat permohonan maaf dan bersetuju untuk membayar semula (reimbuse). Tidakkah ia seolah-olah mengiktiraf tuntutan tersebut?” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.

Dr Azman Yusof

Menurut beliau, isu seperti itu timbul apabila negara berada dalam kancah pilihan raya umum (PRU), maka beliau tidak menolak faktor politik turut memainkan peranan.

Bagaimanapun kata beliau, pasukan guaman kerajaan telah bertindak bagi membatalkan rampasan aset di Azerbaijan dan menunggu hari untuk siri perbicaraan mengenainya.

Sehubungan itu, Dr Azman menggesa pihak kerajaan perlu segera menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi meleraikan isu tuntutan waris Sultan Sultan yang didakwa merampas aset PETRONAS di Azerbaijan daripada pelbagai sudut.

“Ini kerana adalah amat malang jika kecuaian berlaku di pihak kerajaan atau ada niat sabotaj terhadap kepentingan negara dari dalam,” tegasnya.

Sementara itu Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berkata, isu tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap aset negara semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Kerajaan Malaysia telah mendapat kelulusan Mahkamah Rayuan Paris untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bagi tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II. (FOTO Serambinews.com – Tribun)

Dan terbaharu katanya, rampasan dua subsidiari (aset) PETRONAS di Azerbaijan menunjukkan keberanian pihak asing menceroboh kedaulatan negara.

“Perkara ini tidak dapat dipisahkan daripada realiti bahawa kelemahan kerajaan dengan Perdana Menteri (terdahulu) sentiasa diselubungi kebimbangan kehilangan majoriti dalam Parlimen,” katanya.

Menurut beliau, dalam zaman internet yang menghubungkan dunia menjadi sebuah perkampungan global, mustahil dunia tidak tahu tentang ketidak stabilan politik Malaysia semenjak Langkah Sheraton 2020.

Dr Ahmad Fauzi

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Fauzi berkata, pimpinan kerajaan sebelum ini dilihat tidak dapat bertindak tegas menangani pencerobohan kedaulatan negara yang berlaku di luar negara. 

“Tindakan pihak penceroboh (pihak luar) seolah-olah sudah menjangkakan kelewatan dan ketidak pastian respons Malaysia dalam hal ini,” tegasnya.

Terdahulu, pada Mac lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia, yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, perlu membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Keturunan Sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menuntut jumlah amat besar sebagai pampasan daripada Malaysia berikutan proses timbang tara.

Isu ini kembali hangat pada tahun ini, apabila Finacial Times yang berpangkalan di London pada 12 Julai melaporkan bahawa aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Lapangan kondensat gas Shah Deniz yang terletak di Laut Caspian, 70 kilometer di tenggara Baku, Azerbaijan.

Sehubungan itu, PETRONAS pada 7 Julai lepas mengesahkan ia sudah melupuskan dua asetnya di Republik Azerbaijan, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l.; dan menganggap tindakan yang diambil terhadapnya berhubung isu waris Sultan Sulu yang didakwa merampas asetnya bernilai AS$2 bilion (RM8.87 bilion) di negara itu sebagai tidak berasas sama sekali.

Sementara Mahkamah Rayuan Paris pada 13 Julai lalu pula telah membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bagi tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataannya berkata, asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris ialah Final Award bertarikh 28 Feb 2022 yang dikeluarkan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa melalui prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol itu akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah turut mengheret kepentingan PETRONAS di Azerbaijan. (FOTO petronas.com)

“Perintah Penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan serta kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Oleh itu, kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Berikutan kejayaan memperoleh Perintah Penggantungan itu, kerajaan Malaysia membuat persiapan rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award dan tarikhnya belum ditetapkan.

“Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan itu dan memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan serta kedaulatan negara sentiasa dilindungi dan terpelihara,”. – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -