Hijab meraikan fitrah sebenar wanita

- Advertisement -

SAYA tertarik apabila semalam, al-fadhilah Ustazah Dr. Azma menceritakan dialog beliau bersama anak-anaknya yang masih kecil dan fitrah mereka masih suci untuk memahami kebenaran.

Ustazah menunjukkan gambar perhiasan berlian dan emas ini kepada anak-anaknya. Lalu ustazah bertanya:

Ustazah: “Cantik tak perhiasan ini?”

Anak-anak: “Cantik ummi.”

Ustazah: “Kalau dapat , sayang tak barang ini?”

Anak-anak: “Mestilah sayang, kalau dapat mesti nak jaga supaya tak akan hilang.”

Ustazah: “Agak-agak mahal tak barang ini?”

Anak-anak: “Mestilah mahal.”

Ustazah: “Boleh tak kita letak barang ini luar rumah?”

Anak-anak: “Mana boleh, barang ini kan cantik dan mahal. Mestilah kena simpan elok-elok.”

Ustazah: “Macam mana nak jaga?”

Anak-anak: “Kena letak dalam bekas yang cantik macam dalam gambar ni. Pastu kena simpan di tempat tertutup.”

Masya-Allah, anak sekecil itu pun sudah dapat menilai bahawa betapa berharganya nilai perhiasan.

Secara asas, sesuatu yang berharga, nilainya pasti tinggi, kita tidak akan letakkan merata-rata.

Malah, perkara cantik dan bernilai tidak boleh disentuh sesuka hati. Begitulah juga diri wanita yang merupakan perhiasan dunia. 

Hijab kubu pertama

Kejadian wanita lemah dan rapuh. Jadi wanita berhajat kepada perlindungan dan bantuan seorang lelaki yang akan melindungi mereka dan anak-anak mereka yang dicintai, lebih daripada diri dan nyawa mereka sendiri.

Maka, hijab adalah benteng pertama menjaga wanita. Wanita yang menutup aurat bererti dia mengisytiharkan dirinya bermaruah dan lelaki asing akan takut untuk dekatinya.

Wanita yang belum rosak akhlaknya akan merasa tertekan daripada pandangan-pandangan jijik para ajnabi.

Sebaliknya, wanita yang memilih tidak menutup aurat umpama sedang melawan fitrah yang suci.

Fitrah suci wanita tidak suka dilihat

Mereka terlihat sangat berdikari sehingga wali atau penjaga sudah tidak mahu ambil peduli. Namun ianya akan membahayakan mereka, membuka aurat itu umpama dia berkata bahawa ‘aku boleh didekati sesiapa sahaja.’

Contohnya di Eropah, wanita yang mendedahkan aurat merasa tertekan dengan perhatian lelaki, lalu mereka mengadu kepada polis dengan berkata ‘Lelaki-lelaki keji itu mengurung kami dalam penjara mata mereka dan menggusarkan kami.’

Wahai wanita yang ingin menonjolkan aurat, kenapa timbul tidak suka jika dirimu menjadi mangsa jenayah? Kenapa masih mahu laporkan kepada polis, kenapa tidak suka diganggu lelaki?

Sedangkan itu tujuan utama membuka aurat, supaya dapat mempertontonkan kecantikan yang ada pada wanita. 

Sedarlah bahawa, sebenarnya wanita tidak suka situasi sebegitu, itu kerana fitrah wanita tidak suka dilihat! Tidak suka ada lelaki mengganggu mereka. Maknanya, pengabaian hijab oleh kemodenan adalah menyalahi fitrah.

Namun apabila fitrah sudah dicemari wanita sendiri sudah keliru yang mana fitrah yang mana fitnah.

Fitrahnya amat takut kepada kaum lelaki bukan-mahram dan tabiatnya mahu menjauhkan dirinya daripada mereka. 

Melalui penutupan aurat, fitrahnya yang daif akan mengarahkan dan kerap memperingatkan supaya tidak membuka keinginan lelaki bukan-mahram dan tidak memberikan ruang kepada pencerobohan mereka, serta memperlihatkan bahawa jilbabnya adalah perisai dan kubu.

Supaya dikenali wanita beriman

- Advertisement -

يٰٓاَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِّاَزْوَاجِكَ وَبَنٰتِكَ وَنِسَاۤءِ الْمُؤْمِنِيْنَ يُدْنِيْنَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيْبِهِنَّۗ ذٰلِكَ اَدْنٰىٓ اَنْ يُّعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَۗ وَكَانَ اللّٰهُ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”” 

(Al-Ahzab: 59)

Ayat Ini adalah satu perintah supaya wanita mengenakan hijab. Sebelum ini wanita mukmin tidak bertudung. Mendengar arahan itu, para Sahabat pulang dengan penuh semangat membacakan ayat ini kepada isteri dan anak perempuan mereka. 

Setelah mendengarkan perintah Allah itu melalui lisan Rasulullah S.A.W itu, maka para wanita mencapai dan menarik apa sahaja kain untuk menutupi kepala mereka. Betapa tinggi ketaatan mereka kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.

Hikmah terbesar dikenakan hijab adalah agar maruah terpelihara dan dikenali sebagai wanita yang beriman. 

Pasti ada ujian

Ditakdirkan Nabi Adam A.S dan ibunda Hawa untuk turun ke dunia sebagai satu hukuman, hikmahnya supaya keluarlah segala sifat mahal yang tertanam dalam diri manusia. 

Bumi adalah dewan ujian dan setiap manusia perlu melalui tingkatan ujian berbeza. Melalui tekanan ujian ini, nilai seorang Muslim akan tersirna dan terlihat indah.

Namun zaman ini, semua wanita yang berhijab diuji dengan pelbagai fesyen yang berlebihan tetapi dengan bekal iman dan syariat wanita boleh merasai nikmat syurga itu sejak di dunia lagi iaitu dengan jalan mujahadah.

Nasihat ustazah, ‘Jadilah seorang wanita yang Allah kehendaki, perlulah menerima dan mengharungi ujian ini.’

Semoga kita menjadi seorang wanita yang redha dan diredhai oleh Allah S.W.T:

رَضِيْتُ بِاللهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنًا، وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيًّا وَرَسُوْلًا

Aku rela Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai Nabi dan Rasul.” 

[Hadis Riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasai, dan Al-Hakim]

Berdoalah semoga kita dimasukkan ke syurga atas kesabaran dan mujahadah kita ketika di dunia.

Wallahualam.

BIL HIKMAH @KU AZIZAH 
15 Julai 2021 | 5 Zulhijah 1442 – HARAKAHDAILY 15/7/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/lkkrdmpm/photos/a.885260518259804/5133433003442513/?type=3

- Advertisement -