Bolehkah kita hidup tanpa plastik?

- Advertisement -

SEJAK beberapa tahun yang lalu telah dilancarkan kempen untuk mengurangkan penggunaan plastik. Di antara kempen yang paling agresif adalah kempen mengurangkan penggunaan beg plastik di pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai. Pelanggan akan dikenakan caj untuk setiap beg plastik yang bekalkan malah terdapat premis perniagaan yang tidak langsung menyediakan langsung beg plastik. Pelanggan digalakkan membawa beg seperti beg kain atau kotak dari rumah.

Plastik telah dilihat sebagai musuh tetapi adakah persepsi ini benar? Kalau dilihat sekeliling kita amat payah untuk memisahkan hidup kita dari plastik. Hampir kesemua aktiviti harian manusia memerlukan penggunaan plastik. Sama ada di rumah, di tempat kerja, di sekolah, di dalam industri, di hospital dan di mana-mana sahaja memang susah untuk melihat manusia hidup tanpa plastik. Tetapi kenapa terdapat kempen untuk mengurangkan penggunaan plastik?

Memang plastik banyak menimbulkan masalah tetapi kita perlu membezakan sisa plastik dari plastik yang penting untuk kehidupan manusia. Plastik adalah satu bahan yang mengambil masa yang lama untuk melalui proses degradasi (degradation). Adalah dianggarkan proses ini mengambil masa sehingga 450 tahun.

Ini bermakna plastik yang dihantar ke tapak pelupusan sampah akan kekal di situ untuk beratus-ratus tahun. Apabila satu tapak pelupusan sampah telah penuh dan ditutup maka perlu dibuka satu lagi tapak pelupusan sampah untuk menerima sampah dan sisa yang dijana oleh masyarakat dan aktiviti-aktiviti mereka. Proses ini adalah berterusan selagi sampah dan sisa yang dijana tidak dapat didegradasi dengan berkesan.

Memang terdapat kajian dan ujian untuk mempercepatkan degradasi plastik seperti menggunakan bakteria atau serangga tetapi proses ini memerlukan keadaan yang tertentu dan terkawal. 91 peratus dari plastik yang dihasilkan tidak dikitar semula. Di antara sebabnya adalah lebih ekonomi untuk menghasilkan produk yang baharu dari mengitar semula.

Hari ini fokus kita adalah terhadap plastik pakai buang (single use) sepertimana kempen-kempen yang berjalan seluruh dunia. Kempen ini memang berkesan. Di negara China, kempen yang diperkenalkan dalam tahun 2008 telah berjaya mengurangkan penggunaan plastik pakai buang ini sebanyak 50 peratus. Percaya atau tidak Bangladesh merupakan negara pertama yang melarang penggunaan plastik pakai buang iaitu dalam tahun 2002. Hari ini sekurang-kurangnya 90 negara di dunia telah melarang penggunaan plastik tersebut.

Alternatif kepada plastik bukan sahaja diperlukan kerana masalah kepada alam sekitar yang berlaku tetapi juga kerana sumber yang diperlukan untuk menghasilkan plastik. Bahan api fosil (fossil fuel) akan satu hari kehabisan dan memberi kesan kepada keupayaan kita untuk menghasilkan plastik. Tanpa sumber tersebut atau kekurangan bekalan akan mengakibat pengeluaran terjejas atau kos meningkat. Justeru satu alternatif perlu dihasilkan.

Berbalik kepada soalan asal, ‘Adakah kita boleh hidup tanpa plastik?’ Jawapannya tidak berdasarkan gaya hidup dan keperluan kita hari ini. Di dalam industri dan perubatan sahaja betapa plastik memainkan peranan yang penting. Bayangkan satu pembedahan di hospital tanpa plastik. Apakah bahan-bahan alternatif kepada plastik yang digunakan? Apakah alternatif kepada tiub yang digunakan untuk menyalurkan darah atau antibiotik? Ketika anda menerima suntikan, adakah picagari yang digunakan itu daripada kaca atau plastik? Memang terdapat alternatif tetapi mungkin dengan kos yang berbeza.

Walau bagaimanapun sebagai orang awam, kita perlu terus prihatin dengan mengurangkan penggunaan plastik atau dengan menggunanya semula. Terdapat banyak alternatif. Membawa beg sendiri apabila pergi membeli belah membantu. Membawa bekas sendiri apabila membeli makanan juga membantu. Kita perlu kembali ke cara-cara tradisional. Di satu masa dahulu ibu, bapa, datuk dan nenek kita membawa bakul ke pasar tetapi amalan ini telah mati. Bakul rotan hari ini hanya dijadikan perhiasan sahaja. Walaupun kita masih menggunakan daun pisang untuk membalut nasi lemak tetapi plastik tetap digunakan untuk membungkus nasi lemak itu. Di Vietnam mereka menggunakan sejenis rumput untuk dijadikan penyedut (straw) untuk mengelakkan parit dan longkang tersumbat akibat penyedut plastik yang dibuang.

Kita memiliki banyak khazanah-khazanah yang berharga yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita yang perlu dimanfaatkan. Mereka hidup dengan mengambil kira alam semulajadi di sekeliling mereka. Jika kita tidak menghormati alam semulajadi maka tidak hairan ia akan bertindak balas. Kita hanya sedar apabila kita ditimpa bencana. Ketika itu kita sibuk mencari punca malapetaka tersebut tetapi kadang-kala kita terlupa untuk melihat diri kita sendiri. Kita kagum dengan teknologi moden tetapi kita tidak sedar datuk nenek kita telah menyedari akan masalah yang membelenggu dunia hari ini. Mereka memerhati dan memahami walhal kita memerhati tetapi gagal memahami.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
15 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -