Bila doktor pun jual produk kesihatan

- Advertisement -

ISU yang agak menarik diperbahaskan semasa sesi ceramah saya bersama dengan pelajar Master Perubatan Keluarga pada minggu lepas. Iaitu terdapat di kalangan doktor yang menjual produk kesihatan. 

Sebagai doktor berdaftar di bawah Majlis Perubatan Malaysia, doktor mesti mengikut tata-kelakuan sebagai seorang profesional perubatan. 

Tatakelakuan ini melibatkan perhubungan doktor dengan pesakit sama ada semasa memberikan konsultasi perawatan, pemeriksaan kesihatan, prosedur perubatan dan pendidikan kesihatan yang dijalankan oleh mereka. 

Tata-kelakuan ini penting bagi mengekalkan seorang profesional perubatan itu kekal relevan di dalam profesion mereka. 

Selayaknya tiada konflik kepentingan (conflict of interest) antara doktor itu sebagai perawat atau mempromosi ubat atau apa sahaja yang dikaitkan dengan kesihatan. 

Jika doktor itu mempromosi Nasi Lemak Mat Kilau yang banyak khasiat serta jizi makanan yang cukup, tiada masalah. 

Cuma masalah akan timbul jika ianya dikaitkan dengan tuntutan perubatan seperti Nasi Lemak Mat Kilau itu boleh sembuhkan kanser, darah tinggi, kencing manis, pemulih tenaga batin dan pelbagai penyakit kronik lain lagi. 

Terdapat 20 senarai jenis penyakit yang tidak boleh dibuat iklan sebagai tuntutan perubatan. Doktor yang bertauliah serta berdaftar di bawah MMC wajib tahu hal itu. 

Sebab itu doktor-doktor yang faham isu ini tidak mengiklankan ubat kencing manis berjenama sekian-sekian dalam laman sosial masing-masing. 

Padahal ubat-ubatan itu digunakan dalam perawatan seharian mereka. Bahkan semasa menulis preskripsi ubat, doktor-doktor dinasihatkan tulis nama generik ubat berkenaan, bukannya nama komersial. Contohnya ubat kencing manis ditulis Metformin bukannya Glucophage dari syarikat ubat tertentu.

Majlis Perubatan Malaysia adalah badan rasmi yang dikanunkan di bawah Akta Perubatan 1971 untuk mengawal selia, mendaftar dan mengiktiraf doktor-doktor dalam negara kita supaya mengikuti tatakelakuan yang sepatutnya. 

Akta-akta ini diwujudkan bagi menjamin doktor itu sebagai pemandu teladan (guidance) dan pesakit akan mendapat manfaat yang sepatutnya di dalam negara kita.

Jika doktor berdaftar melanggari Akta Perubatan, dia boleh dikenakan tindakan disiplin sama ada boleh dilucutkan pendaftaran mereka, diberi amaran atau digantung amalan pada satu tempoh yang tertentu. 

Ini bermakna doktor yang disabitkan kesalahan itu tidak boleh beramal untuk merawat dan mengubati pesakit dalam negara.

Majlis Perubatan Malaysia telah menyediakan beberapa dokumen penting untuk dibaca oleh setiap doktor supaya ianya menjadi satu garis panduan kepada mereka. 

Antara dokumen penting yang telah pun disiarkan secara rasmi melalui laman web adalah Kod Tata kelakuan Profesion Perubatan dan Amalan Perubatan Baik. 

Nanti ada pula bertanya kenapa MMC tidak mengambil tindakan terus terhadap doktor-doktor perubatan yang nampak terlalu aktif menjual produk dalam media sosial? 

Kita perlu faham, apabila terikat dengan akta semua tindakan disiplin juga perlu dibuat melalui prosedur undang-undang.

Majlis Perubatan Malaysia memerlukan aduan rasmi untuk dibawa ke meja pendakwaan. Jika terdapat asas yang kukuh terhadap aduan tersebut, maka jawatankuasa disiplin akan memanggil doktor-doktor berkenaan untuk dibicarakan. 

Kata kuncinya adalah aduan rasmi. Borang aduan boleh didapati dalam laman web rasmi MMC.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 15/7/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -