Tiada campur tangan Mahkamah Sivil dalam murtad

Hakim menjunjung Artikel 121 (1A)

- Advertisement -

PADA tahun 2018, Mahkamah Tinggi Syariah telah menolak permohonan perintah keluar Islam daripada seorang wanita yang merupakan anak kepada seorang bapa mualaf dan ibu kelahiran Islam. Tujuan permohonan tersebut dibuat adalah bagi membolehkan wanita tersebut menganut agama Buddha dan Konfusianisme.

Tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, beliau membuat permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Syariah yang menolak permohonan murtad beliau. Akan tetapi, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, YA Datuk Ahmad Kamal Md Shahid juga menolak permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Syariah. 

Ujar Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan dengan urusan Mahkamah Syariah walau apa pun keputusan yang telah dibuat. Ini kerana bidang kuasa berkenaan undang-undang Syariah merupakan kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang termaktub pada Perkara 121 (1A).

Seperti sedia maklum, Malaysia mengamalkan Dualisme dalam undang-undang yang mana kita mempunyai Undang-undang Sivil yang menjadi undang-undang perdana di negara kita dan Undang-undang Syariah yang hanya melibatkan Muslim sahaja. Cabaran mempunyai dua aliran undang-undang ini adalah akan berlakunya campur tangan antara satu sama lain. Oleh sebab itu, wujudlah pindaan kepada Perkara 121 dengan menambah peruntukan khusus berkenaan perlindungan kepada Mahkamah Syariah bagi menjalankan bidang kuasanya. 

Walaupun peruntukan ini tidaklah menyelesaikan keseluruhan isu pertembungan bidang kuasa kedua mahkamah ini, namun sebahagian isu melibatkan umat Islam boleh diselesaikan tanpa campur tangan luar. 

Akhir kalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, YA Datuk Ahmad Kamal Md Shahid telah membuat keputusan yang tepat dengan menjunjung Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dalam menghormati keputusan Mahkamah Syariah. 

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 14/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -