FIRMAN Allah S.W.T:
اِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُكُمْ اَنْ تُؤَدُّوا الْاَمٰنٰتِ اِلٰٓى اَهْلِهَاۙ وَاِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ اَنْ تَحْكُمُوْا بِالْعَدْلِ ۗ اِنَّ اللّٰهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهٖ ۗ اِنَّ اللّٰهَ كَانَ سَمِيْعًاۢ بَصِيْرًا.
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat”.
(an-Nisa: 58)
Sabda Rasulullah S.A.W:
عَنْ مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ.
“Dari Ma’qil bin Yasar Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa diberi tanggungjawab oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya Allah mengharamkan Syurga atasnya”.
(Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah S.A.W:
مَنْ وُلِّيَ مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ شَيْئًا فَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ أَحَدًا مُحَابَاةً فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ لَا يَقْبَلُ اللَّهُ مِنْهُ صَرْفًا وَلَا عَدْلًا حَتَّى يُدْخِلَهُ جَهَنَّمَ.
“Barang siapa yang dilantik untuk menjadi pemerintah kaum Muslimin, kemudian dia memerintah dalam keadaan sambil lewa, maka dia akan dilaknat oleh Allah. Allah tidak menerima pengurusan dan pengadilan daripadanya sehinggalah dia dimasukkan ke dalam neraka jahanam.”
(Mustadrak al-Hakim; dinilai Sahih oleh al-Hakim)
Dalam Hadis lainnya, Rasulullah S.A.W menjelaskan mengenai pemimpin yang baik adalah yang mencintai rakyatnya dan rakyatnya mencintai pemimpinnya. Sementara, pemimpin yang buruk akan membenci rakyatnya dan rakyatnya membenci pemimpinnya.
Rasulullah S.A.W bersabda (mafhumnya) yang bermaksud:
“Sebaik-baik pemimpin kalian adalah mereka yang mencintai kalian dan kalian mencintai mereka, mereka mendoakan kalian dan kalian mendoakan mereka. Dan seburuk-buruk pemimpin kalian adalah mereka yang membenci kalian dan kalian membenci mereka, mereka mengutuk kalian dan kalian mengutuk mereka.”
Nabi S.A.W ditanya Sahabatnya, “Wahai Rasulullah, tidakkah kita boleh memerangi mereka (pemimpin yang buruk)?” Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud, “Tidak, selagi mereka mendirikan solat bersama kalian. Jika kalian melihat dari pemimpin kalian sesuatu yang tidak baik maka bencilah tindakannya, dan janganlah kalian melepaskan diri daripada ketaatan kepada mereka (dalam perkara yang baik)”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Menurut al-Qadi Iyyad, yang dimaksudkan dengan larangan menipu kaum Muslimin ini adalah larangan mengkhianati hak-hak yang seharusnya ditunaikan ke atas mereka. Kata al-Qadi Iyyad:
إِهْمَالِ حُدُودِهِمْ أَوْ تَضْيِيعِ حُقُوقِهِمْ أَوْ تَرْكِ حِمَايَةِ حَوْزَتِهِمْ وَمُجَاهَدَةِ عَدُوِّهِمْ أَوْ تَرْكِ سِيرَةِ الْعَدْلِ فِيهِمْ فَقَدْ غَشَّهُمْ
“(Iaitu mereka) tidak mengambil berat mengenai perundangan Islam, atau mengabaikan hak-hak orang Islam, atau tidak memelihara keselamatan mereka, dan tidak bersungguh menentang musuh Islam, atau meninggalkan (tidak) melaksanakan keadilan terhadap mereka, Sesungguhnya ini semua termasuk dalam apa yang dikatakan sebagai pemimpin yang menipu kaum Muslimin.”
(al-Nawawi, Syarh Muslim)
Berdasarkan ayat, Hadis dan nukilan kata Ulamak di atas Islam memberi peringatan keras terhadap pemimpin yang tidak melaksanakan tanggungjawab dan amanah terhadap rakyat. Ini termasuklah menjadikan jawatan untuk memenuhi kepentingan diri dan keluarga serta menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Menjadikan kedudukan untuk mencari keuntungan dan kekayaan diri. Mengamalkan nepotisma, kronisma dan rasuah.
Kedudukan dan jawatan bukanlah bererti kemuliaan semata-mata, namun amanah dan tanggungjawab yang berat mesti dipikul untuk mengelakkan kemurkaan Allah S.W.T dan kebencian manusia. Pemimpin yang adil mendapat naungan rahmat Allah di akhirat sebaliknya pemimpin yang zalim akan dilaknat.
Justeru PAS Johor mengingatkan kepada semua pihak agar sentiasa berwaspada dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah semoga ianya dapat dilaksanakan dengan betul dan sempurna mengikut prosedur yang sewajarnya.
“Islam Menyatukan Ummah”
ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 14/7/2022