Mangsa aliran puing dibayar sewa rumah 6 bulan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Penduduk yang menjadi mangsa aliran puing di Baling 4 Julai lalu akan menerima bantuan sewa rumah sebanyak RM400 dan pembayaran utiliti RM100 sebulan bagi tempoh enam bulan.

Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan tersebut disegerakan bagi membantu keluarga penduduk yang terkesan.

Selain itu kerajaan negeri melulus peruntukan rumah ganti bernilai RM57,000 kepada penduduk yang mana rumah mereka terjejas teruk pada kejadian tersebut.

- Advertisement -

“Anak-anak syarikat kerajaan negeri akan membantu membaik pulih rumah penduduk dan kerja-kerja pembinaan rumah ganti di tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Sadek,” katanya selepas merasmikan Majlis Kulim Smart Parking di Wisma Darul Aman semalam.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Mohd Hayati Othman; Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Isahak Murat, Penasihat Undang-Undang Negeri Dato’ Nik Azhan Hakim Nik Mahmood; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Dr Nadzman Mustaffa dan Naib Presiden Eksekutif Syarikat Heitech Padu Berhad Abdul Halim Md Lassim.

Pada kejadian 4 Julai lepas tiga penduduk menjadi mangsa selepas dihanyutkan dalam kejadian banjir di Kampung Iboi.

Aliran puing turut merosakkan rumah di 11 kampung termasuk Kampung Bendang Padang, Kampung Iboi, Padang Ampang, Tok Saba, Hangus dan Pisang.

Menteri Besar juga berkata, Jambatan Bailey menghubungkan Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi yang roboh akibat banjir kemungkinan diguna lebih lama memandangkan fizikal sungai di kawasan tersebut telah berubah.

“Ini memerlukan pertimbangkan semula dari pelbagai aspek seperti peruntukan dan rekabentuk pembinaan jambatan yang baharu,” katanya seperti dilapor Warta Kedah. – HARAKAHDAILY 14/7/2022

- Advertisement -