Kemalangan babit kenderaan berat diberi perhatian serius

- Advertisement -

KES kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat seperti treler semakin menjadi-jadi. Malah turut melibatkan kehilangan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Saya amat sedih dengan apa yang berlaku. Takziah buat ahli keluarga mereka. Semoga roh mereka dicucuri rahmat.

Saya telah mengarahkan agensi-agensi dan pihak yang berkaitan termasuk JPJ, MIROS serta PUSPAKOM untuk meneliti kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat dengan lebih menyeluruh. Kaedah penyelesaian yang berkesan perlu disegerakan.

Selain mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah, saya juga melihat keperluan melaksanakan ujian saringan kepada para pemandu bagi mengelakkan mereka memandu dalam keadaan dipengaruhi dadah atau alkohol. 

Menerusi kerjasama pihak PDRM dan AADK, ujian saringan ini mungkin boleh dilakukan secara berkala, dibuat secara mengejut dan dilaksanakan di pelbagai lokasi termasuk di pejabat-pejabat syarikat pengangkutan dan logistik.

Mana-mana syarikat juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya terutama jika hasil siasatan mendapati kenderaan mereka tidak diselenggara dengan baik, tidak mematuhi peraturan dan seumpamanya. 

Kita tidak mahu syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab ini lepas tangan dan hanya tamak mengaut keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan keselamatan pekerja iaitu pemandu dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Syarikat-syarikat dan para pemain industri juga perlu memandang serius perkara ini terutamanya dalam memastikan keselamatan pekerja-pekerja mereka sentiasa terjamin. 

Undang-undang yang digubal perlu dipatuhi dan dihormati sepenuhnya, ianya bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan nyawa manusia.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan Malaysia – HARAKAHDAILY 14/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -