Inisiatif dan peruntukan khas sempena Hari Peneroka FELDA

- Advertisement -

SEMPENA Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan di FELDA Rentam, Bera, Pahang, hari ini, saya mengumumkan beberapa inisiatif dan peruntukan khas untuk warga peneroka.

Selain perladangan, FELDA turut menyumbang kepada sekuriti makanan negara.

Menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP), 56,699 peneroka mula menikmati tambahan pendapatan dengan purata RM250 hingga RM500 sebulan.

FELDA meluluskan sebanyak 8,542 projek penternakan dan pertanian dengan dana berjumlah RM212 juta.

Peruntukan RM6.1 juta untuk dana pengurusan bagi mengambil alih pengurusan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn. Bhd.

Ini dapat mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram getah kering dengan tambahan 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan.

Dana pusingan sebanyak RM10 juta disediakan bagi meningkatkan kapasiti perniagaan atau untuk memulakan perniagaan dalam kalangan usahawan generasi baharu FELDA.

Saya juga mengumumkan sebanyak RM7.6 juta sewaan bulanan yang dibayar oleh 2,025 penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF tersebut.

Bagi membantu generasi baharu dan memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah lot generasi ini, saya mengumumkan dana RM20 juta menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman yang tidak perlu lagi menyediakan cagaran bagi membuat pinjaman.

Saya mengumumkan peruntukan khas RM66,000 bagi kesemua 317 rancangan dengan jumlah keseluruhan RM21 juta.

Hadiah tempat pertama Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF) turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta, sebagai pembakar semangat warga FELDA untuk menjaga keceriaan dan keindahan kawasan rancangan dan  memupuk komuniti yang bersatu padu.

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB 
Perdana Menteri – HARAKAHDAILY 14/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -