Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Lima prinsip Rukun Negara sewajarnya diterap semula kepada anggota masyarakat khususnya anak-anak muda supaya mereka tidak hilang jati diri.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Rosnazli Amin berkata, ia juga mencerminkan sebagai seorang Muslim dan rakyat Malaysia yang benar-benar merdeka.
Katanya, penghayatan tersebut penting memandangkan sejak akhir-akhir ini didapati ada pihak yang tidak patuh pada lima prinsip Rukun Negara.
“Ada dalam kalangan kita yang menghina Islam dengan membuat tindakan yang amat tidak wajar sebagai seorang Muslim.
“Ada juga yang berani melanggar undang-undang negara dengan melakukan perbuatan di luar batas keimananan,” katanya berucap merasmikan Program Semarak Gemilang 2022 di perkarangan Masjid Al Baro’ah di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Pegawai Penerangan Jabatan Penernagan Negeri Hashim Mohammad.
Menurutnya ada juga yang tidak menghormati institusi Raja Berpelembagaan sehingga hilang sikap sopan dan tata susila bangsa Melayu.
Rosnazli berkata, kenyataan tidak bermoral banyak ditemui di media sosial seperti Facebook, Twitter, Tiktok, Instagram dan sebagainya.
“Ibubapa juga diingatkan supaya menegur sikap anak anak sekiranya berbuat sedemikian. Bawa mereka bersama untuk mengenang sejarah perjuangan pejuang terdahulu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/7/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!