Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Kerajaan melalui Majlis Tanah Negara (MTN) akan menguatkuasa dasar moratorium untuk melarang sebarang aktiviti pembalakan di ladang hutan selama 15 tahun bermula tahun ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana negeri tidak dibenarkan untuk mengeluarkan lesen baharu kepada semua pihak termasuk individu terlibat selama tempoh yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, tindakan itu bertujuan bagi memulihara serta menjaga hutan daripada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku selain mengekang kerosakan serta kemusanahan hutan.
“Semua negeri tidak dibenar mengeluarkan sebarang lesen baharu. Kita cegah daripada perkara itu untuk menjaga hutan yang sedia ada.
“Ladang hutan ialah ladang yang ditanam dengan pokok baru. Sebelum tanam dengan pokok yang baru, pokok-pokok yang sedia ada dibersihkan seratus peratus.
“Namun, disebabkan tidak ditanam dengan pokok yang baru ia boleh menyumbang kepada berlaku kejadian tanah runtuh dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan kejohanan badminton PROTECH di sini hari ini.
Kata beliau dasar yang akan dikuatkuasakan itu diperuntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) bagi melindungi khazanah alam.
Sementara itu ditanya mengenai kejadian bencana aliran puing yang berlaku di Baling Kedah baru-baru ini katanya, siasatan berhubung kejadian itu akan diperolehi dalam masa terdekat.
“Saya percaya dalam tempoh terdekat dan akan diumumkan hasil daripada siasatan yang dilakukan itu.
“Malah di kementerian juga kita mengarahkan jabatan-jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri supaya mengambil langkah-langkah ke arah menjaga alam dan hutan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2022