‘Kita selamatkan dahulu apa yang telah berlaku’

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak berhasrat untuk masuk campur insiden ‘salah menyalah’ antara dua bekas Menteri Besar Kedah yang rancak seperti ditular di media sosial sekarang.

Katanya, tiada faedah mencari salah sesiapa sedangkan perkara itu tidak akan boleh mengembalikan semula kawasan yang dilanda banjir kilat seperti sedia kala.

“Saya tidak mahu terlibat dengan ‘blame game’. Hangpa (kamu) heret saya masuk blame game, saya tak akan lakukan.

“Saya tidak bertikam lidah dengan sesiapa pun. Saya juga tidak menuding jari kepada sesiapa. Saya tidak mahu cari salah orang,” katanya ketika mengulas isu ladang Musang King yang didakwa menjadi penyebab kejadian aliran puing 4 Julai lalu.

- Advertisement -

Katanya sekarang bukan masanya untuk berkelahi sebaliknya bersama menyelesaikan masalah yang terjadi dan dalam masa yang sama memastikan mangsa kejadian mendapat pembelaan.

Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Besar Dato’ Seri Mukhriz Mahathir mendakwa kerajaan Barisan Nasional menukar tanaman getah klon balak kepada durian Musang King di Gunung Inas.

Sanusi juga berkata, kerajaan negeri mempunyai kepakaran melalui agensi dan jabatan-jabatan berkaitan untuk membuat penilaian sebab musabab kejadian.

Katanya menurut laporan ladang Musang King mendapat arahan berhenti kerja sejak Julai 2020, malah tanaman tutup bumi ditanam kecuali di laluan air.

“Sekiranya kesimpulan yang dibuat bercanggah dengan laporan yang dikeluarkan ia bukan sahaja mendahului agensi atau jabatan yang dipertanggungjawabkan malah memberi kesan kepada kerajaan sekarang.

“Saya pun tak boleh terima pandangan ‘jabatan netizen’. Terpulanglah siapa nak jadi ketua ‘kerajaan netizen’.

“Kita selamatkan dahulu apa yang telah berlaku. Jadikan pengajaran. Di tempat lain jangan buat kerja macam ini lagi,” katanya.

Dalam masa yang sama Menteri Besar mengajak semua pihak berfikir dua situasi berbeza iaitu di Gunung Jerai dan Gunung Inas tetapi mengalami aliran puing yang hampir sama keadaannya.

Sedangkan katanya di Gunung Jerai hutan masih tebal dan tiada berlaku pembalakan, manakala hutan di Gunung Inas digondolkan beberapa belas tahun lalu.

“Kenapa dua situasi berbeza hutan dan muka buminya cuma yang sama bukit dan tanah tinggi. Satu hutan belantara, satu hutan durian dan tanaman tutup bumi,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 13/7/2022

- Advertisement -