Kelantan pinjam Bank Dunia bina tali air

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

PADA
16 Februari 1967 kerajaan Kelantan berunding dengan Bank Dunia bagi mendapatkan dana untuk membiayai projek pembinaan Tali Air Kemubu.

Rombongan kerajaan Kelantan diketuai Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Abdul Aziz Idris mengadakan rundingan dengan Bank Dunia di Washington, Amerika Syarikat.

Sebelum itu pada 24 November 1966 wakil dari Bank Dunia Price Eitingger datang ke Kelantan meninjau dan berbincang mengenai cadangan projek tersebut.

Projek itu dirintis kerajaan PAS bagi membantu pesawah mengairi bendang seluas 51,000 ekar di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok.

Hasil rundingan itu, akhirnya Bank Dunia melulus pinjaman bagi melaksanakan projek terbabit. Kos pembinaannya menjangkau sehingga RM75 juta, jauh berbanding anggaran awal sebanyak RM45 juta.

- Advertisement -

Kos tersebut termasuk pembinaan rumah pam di Kemubu yang menyalurkan bekalan air melalui tali air ke sawah. Tali air sepanjang 500 batu melalui kawasan kampung di beberapa jajahan di utara Kelantan.

Pada peringkat awal tali air tersebut diurus Jabatan Parit dan Taliair (JPT). Pada 1990 JPT ditukar pula nama kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sehingga era awal 1990-an budak-budak kampung masih boleh mandi manda di tali air. Tali air tersebut seumpama anak sungai. Rumput dan semak tidak sempat membesar kerana sering dibersih pekerja kontrak JPS.

Ia selaras dengan peranan JPS meningkatkan perancangan dan pembangunan infrastruktur serta pengurusan air untuk tanaman dan keperluan pertanian.

JPS tidak lagi terbabit dengan penyelenggaraan tali air. Pengurusannya sekarang difahamkan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA). Keluasan tanaman padi di bawah KADA di Kelantan sekarang 26,833 hektar.

Ia membabitkan kira-kira 7,722 pesawah. Kelantan juga menyumbang hampir 10 peratus pengeluaran padi bagi keperluan negara.

Pada tahun 2019 sebanyak 202,958 tan metrik padi dihasilkan. Ia melebihi kadar kegunaan rakyat Kelantan 145,000 metrik tan setahun.

Malah KADA juga pernah merancang untuk meningkatkan tanaman padi sehingga tiga kali setahun. Bagaimanapun usaha untuk menambah hasil padi berdepan dengan beberapa masalah termasuk bekalan air.

Tali yang terbiar tanpa diselenggara mengganggu kelancaran aliran air. Malah, ia juga mencacatkan pemandangan. Oleh itu KADA dan agensi berkaitan sewajarnya mengembalikan keceriaan tali air.

Lokasi tali air yang terbiar perlu diberi wajah baru. Setidak-tidaknya menarik minat budak kampung mandi mandi atau mengail. Atau mampu menjadi produk tarikan pelancongan.

Di Melor Kota Bharu ada KADA Resort. Ia menjadi tempat penginap dan latihan. Usaha itu memperlihatkan tali air berpotensi dimajukan sebagai lokasi pelancongan.

Di banyak tempat tali air juga dijadikan lokasi menternak ikan air tawar. Ia secara tidak langsung membantu pesawah menjana pendapatan. Inilah serampang banyak mata seperti dihasrat kerajaan PAS ketika mencetus idea membina tali air pada 1966.

Ia bukan kerja mudah. Sebuah kerajaan negeri sanggup berusaha mendapatkan pinjaman daripada Bank Dunia bagi memodenkan sektor pertanian. Siapa kata pemimpin PAS kolot. Ternyata pemikiran mereka mendahului zaman.

Namun malangnya, ada tali air di sesetengah tempat sekarang dipenuhi semak dan sampah yang hanyut. Ia boleh dilihat di Kampung Landar, Kasa Pasir Mas.

Eloklah pengurusan KADA cuba intai-intai lokasi terbabit. Jangan biarkan kemasyhuran lama dibiarkan suram. – HARAKAHDAILY 13/7/2022

- Advertisement -