Usaha kukuh perdagangan dan ekonomi Malaysia-China

Intipati disentuh pada kunjungan hormat Menteri Luar China menemui YDP Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima menghadap dan kunjungan hormat Tuan Yang Terutama Wang Yi, Menteri Luar China, di Istana Negara hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar Negeri YB Dato’ Sri Saifuddin bin Abdullah, Duta Besar China ke Malaysia Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri YBhg. Dato’ Amran bin Mohamed Zin.

Majlis menghadap dengan Seri Paduka Baginda ini adalah julung kali buat Tuan Yang Terutama Wang Yi yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, bermula kelmarin (11 Julai 2022).

Dalam sesi yang berlangsung selama 45 minit bermula pada jam 11:45 pagi ini, Seri Paduka Baginda dan Tuan Yang Terutama Wang Yi telah menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang erat terjalin di antara Malaysia dan China sejak tahun 1974.

Kedua-dua pemimpin telah turut menyentuh berkenaan usaha-usaha pengukuhan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi susulan peningkatan jalinan hubungan Malaysia-China ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013. Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-10 perkongsian itu tahun depan.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan rasa suka cita terhadap hubungan erat Malaysia dan China yang juga telah terjalin secara istimewa di dalam pelbagai aspek, termasuk bantuan yang telah dihulurkan oleh Kerajaan China dan kerjasama di antara kedua-dua negara dalam memerangi penularan wabak COVID-19 serta pemulihan pasca pandemik.

Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Wang Yi atas persilaan kepada Baginda untuk mengadakan lawatan rasmi ke China.

Seri Paduka Baginda juga berkenan mempersilakan Preside China Tuan Yang Terutama Xi Jinping untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia. Kali terakhir Tuan Yang Terutama Xi Jinping melawat Malaysia ialah pada tahun 2013.

Selain itu, Seri Paduka Baginda dan Tuan Yang Terutama Wang Yi dalam sesi menghadap ini turut menyentuh berkenaan projek-projek pelaburan syarikat-syarikat dari China di negeri Pahang khususnya di Malaysia-China Kuantan Industrial Park yang terletak di Gebeng, Pahang.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan China kerana projek-projek tersebut telah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi terutamanya di negeri Pahang dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Malaysia (East Coast Economic Region).

China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009 dan menyumbang 18.9 peratus kepada jumlah dagangan global negara pada tahun 2021. Pada masa yang sama, jumlah dagangan China dengan Malaysia juga mencecah rekod tertinggi sebanyak USD101.55 bilion pada tahun 2021.

Pada tahun 2021 juga, stok pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment stock) dari China ke Malaysia telah mencecah RM25.91 bilion. Pada tahun yang sama (2021), pelaburan yang diluluskan dengan penyertaan dari China ialah RM16.6 bilion, manakala pelaksanaan pelaburan dengan penyertaan dari China mencecah RM1.82 bilion. 

DATO’ INDERA AHMAD FADIL SHAMSUDDIN
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -

- Advertisement -