PRU 2025: Strategi PM Lee pastikan kerajaan Singapura kekal ampuh

Perdana Menteri Singapura dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Lee Hsien Loong berucap pada majlis makan malam penghargaan pasca Pilihan Raya Umum 2020 PAP pada 12 Julai 2022. (FOTO CNA/Jalelah Abu Baker)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

SINGAPURA: Profesional, tidak berlagak mendabik dada tetapi sebaliknya dengan rendah hati mengakui ahli parlimennya bukan memiliki pandangan sama dan stereotaip (atau sekadar ‘pak turut’), agar wujud kepelbagaian perspektif yang boleh dibincang dan digabungkan bagi membentuk solusi melakukan yang terbaik buat kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.

Itulah senjata utama keampuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura yang dijangka menjelang tahun 2025 kelak.

- Advertisement -

Lee dalam kenyataannya menurut laporan CNA pada Selasa (12 Julai) berkata ia merupakan suatu pandangan yang ‘salah’ melihat bahawa semua Ahli Parlimen daripada PAP yang memerintah Singapura sekarang ini mempunyai perspektif yang sama.

“Ada yang yang berpendapat, memandangkan semua ahli Parlimen PAP berpakaian putih, mereka juga monokrom dalam idea dan perspektif mereka. Pandangan ini agak tersilap,” tegasnya. 

Beliau sebaliknya berkata, PAP telah melakukan yang terbaik untuk mengumpulkan ahli pasukan (Parlimen) yang pelbagai, dan memastikan setiap ahli Parlimen membawa sesuatu yang berbeza ke meja perundingan.

SUASANA di sekolah Poi Ching, Tampines, yang menjadi salah satu pusat pengundian di Singapura pada Pilihan Raya Umum pada 10 Julai 2020. (FOTO BERNAMA)

Lee berucap mengenai peranannya sebagai setiausaha agung parti pada majlis makan malam penghargaan pasca PRU 2020 PAP pada hari ini yang sepatutnya  diadakan sejurus selepas PRU 2020, tetapi tertunda disebabkan pandemik Covid-19.

PAP memenangi 61.24 peratus undi pada pilihan raya Julai 2020, memenangi 83 kerusi daripada keseluruhan 93 kerusi. Seramai 20 ahli Parlimen PAP bersara pada tahun itu.

Meraikan bekas ahli Parlimen

Pada majlis makan malam penghargaan tersebut yang diadakan di Bangunan Parlimen Singapura,  Lee  turut menyampaikan surat watikah dan kenang-kenangan kepada ahli parlimen yang telah bersara.

Antaranya ialah penyokong parti seperti Menteri Kanan, Emeritus Goh Chok Tong; bekas Timbalan Speaker Parlimen, Charles Chong, serta bekas Menteri Kabinet Khaw Boon Wan, Lim Hng Kiang, Lim Swee Say, dan Yaacob Ibrahim.

Turut diraikan ialah bekas ahli Parlimen terdiri daripada Ang Hin Kee, Cedric Foo, Chia Shi-Lu, Fatimah Lateef, Intan Azura Mokhtar, Lee Bee Wah, Lee Yi Shyan, Lily Neo, Ong Teng Koon, Sam Tan, Teo Ho Pin, Teo Ser Luck, Yee Chia Hsing, dan Zainal Sapari.

Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong tiba di pusat penamaan calon pada 30 Jun 2020 untuk menyerahkan pencalonan partinya menjelang pilihan raya umum Singapura menjelang 10 Julai 2020. (FOTO AP)

Dalam pada itu, Lee mengetengahkan beberapa cara yang mana setiap daripada ahli Parlimen tersebut telah membawa perubahan dan bagaimana mereka menyumbang kepada parti dan kawasan mereka.

Beliau memberi contoh bagaimana bekas ahli Parlimen berkenaan mengubah kawasan awam, menjadi penyokong seperti kepada pekerja bergaji rendah dan warga emas, dan cara mereka memenangi hati penduduk pada pilihan raya.

“Mereka memberi gambaran tentang skop dan kepentingan tugas ahli Parlimen, dan menjelaskan mengapa menjadi ahli Parlimen sangat dituntut dan perlu dipenuhi.

Prof Yaacob Adnan (kiri) merupakan antara ahli Palimen Parti Tindakan Rakyat yang kini telah bersara. (FOTO Lapthrinhx)

“Itu juga mungkin sebab bagi kebanyakan ahli Parlimen, berundur bukanlah pelarasan yang mudah dilakukan. Sukar untuk melepaskan hubungan rapat yang terjalin dengan penduduk anda.

“Bagi saya juga, adalah satu tugas yang sukar untuk meminta anda berundur bagi memberi laluan kepada pengganti anda,” ucapnya.

Ketua parti PAP itu menambah bahawa beliau berterima kasih atas ‘pemahaman dan berjiwa besar’ bekas ahli-ahli Parlimen PAP mengenai aspek  tersebut, dan atas usaha mereka dalam membimbing dan menyokong pengganti mereka.

Singapura dijangka mengadakan pilihan raya umum menjelang tahun 2025. (FOTO ThoughtCo)

Lee juga memuji mereka kerana menghargai keperluan untuk meneruskan pembaharuan kepimpinan parti dan memastikan bahawa Singapura sentiasa mempunyai pasukan terkuat untuk memimpinnya, pada masa kini dan masa hadapan.

Pasangan dan keluarga ahli Parlimen yang telah bersara juga turut disebut Lee sebagai tanda penghargaan daripada kerajaan pimpinannya.

“Mereka (pasangan dan ahli keluarga bekas ahli Parlimen) telah banyak berkorban, supaya anda (ahli Parlimen) dapat menumpukan masa dan perhatian kepada penduduk anda, dan memberikan yang terbaik sebagai ahli parlimen dan penasihat,” kata Lee.

Keputusan Pilihan Raya Umum Singapura yang diumumkan pada 10 Julai 2020 yang menyaksikan Parti Tindakan Rakyat memenangi 61.24 peratus undi, memenangi 83 kerusi daripada keseluruhan 93 kerusi. (FOTO Mediacorp)

Generasi baharu ahli Parlimen

Lee melontarkan buah pandangannya terhadap kepentingan dan ciri-ciri generasi baharu bagi mengisi jawatan ahli Parlimen PAP pada masa hadapan.

“PAP berterusan memerlukan generasi baharu untuk maju memasuki arena politik, dan berjuang untuk sokongan rakyat Singapura dan masa depan negara ini,” ujar beliau.

“Calon berpotensi  harus memiliki integriti, komitmen dan kebolehan, keberanian untuk mengharungi politik; dan juga semangat dan imaginasi untuk membina Singapura yang lebih baik,” tambahnya.

Parti Tindakan Rakyat di bawah kepimpinan Lee Hsien Loong dipastikan sentiasa diperbaharui, bertenaga dan berhubung terus dengan rakyat. (FOTO New Mandala)

Menurutnya lagi, parti itu memerlukan individu yang mempunyai pengalaman dan latar belakang yang pelbagai untuk mewakili aspirasi dan kebimbangan kumpulan yang berbeza dalam masyarakat, seperti yang dibuktikan melalui langkah yang telah dilaksanakan ahli-ahli Parlimen yang telah bersara itu.

“Perspektif anda yang pelbagai membantu menjadikan dasar kami lebih bulat dan teguh,” katanya.

“Kita mesti mengekalkan kepelbagaian ini dalam barisan kita, memastikan parti kita menjadi khemah yang luas, dan meletakkan pasukan terbaik yang mungkin dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kerja-kerja mengenai perkara ini sedang berjalan dengan baik,” tegasnya yang berkata, PRU akan datang perlu diadakan menjelang November 2025.

“Dalam masa yang sangat mencabar ini, dan terutamanya dengan detik-detik sukar seperti yang dilalui sebelum ini, kita perlu memastikan parti sentiasa diperbaharui, bertenaga dan berhubung terus dengan rakyat Singapura,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -