Tiada visa furada 2022, bakal haji ‘terkeliru’ iklan agensi – PAPUH

Dato' Seri Razali sudah mengeluarkan kenyataan media bahawa kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan visa furada kepada jemaah Malaysia dalam jumlah yang ramai sejak Jun 2022 lagi.
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Tiada visa furada dikeluarkan kerajaan Arab Saudi pada tahun ini, malah sejak 2019 lagi buat jemaah haji di Malaysia dalam jumlah yang ramai – fakta yang berkemungkinan tidak disedari golongan bakal haji di Malaysia disebabkan ‘terkeliru’ dengan iklan yang ditampilkan segelintir agensi haji dan umrah tempatan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Dato’ Seri Razali Mohd Sham berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden 380 jemaah haji Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, dipercayai ada kaitan dengan visa furada yang ditawarkan agensi haji dan umrah terbabit.

- Advertisement -

Menurutnya, individu di Malaysia yang mendapat visa furada dari kerajaan Saudi adalah yang diberikan kelulusan istimewa seperti golongan orang kenamaan (VIP).

“Untuk makluman, yang biasa-biasa pun visa furada ini bukannya digunakan untuk ‘commercial life’ (iklan). Jadi, sebab itu kita lihat ramai jemaah haji  yang terkandas di KLIA sebelum dapat  menunaikan haji di Tanah Suci Mekah.” 

“Oleh itu, bakal haji Malaysia (dari kalangan orang ramai) yang menggunakan visa furada sekarang ini boleh dikatakan akan menanggung risiko (terkandas daripada menunaikan haji),” tegas beliau kepada HarakahDaily

Katanya lagi, orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan haji di Mekah seelok-eloknya mendaftar terlebih dahulu dengan Lembaga Tabung Haji. 

“Selepas pendaftaran dibuat, jemaah haji dan umrah perlu mencari syarikat pengelola jemaah haji (PJH) untuk menguruskan mereka dengan lebih lanjut lagi.

“Jika kita lihat, ada agensi umrah dan haji yang buat iklan (mengenai visa furada) dan sebagainya, namun kita harus tahu pada ketika ini (di era endemik), visa Furada bukan senang diperoleh bakal haji.

“Jadi dalam kes (bakal haji) yang terkandas itu, berkemungkinan agensi haji dan umrah yang menguruskan mereka ingat boleh buat commercial life (tentang visa furada) tetapi mereka lupa bahawa mereka sebenarnya buat visa haji,” jelas Razali.

Sebenarnya pada Jun lalu, Razali telah mengeluarkan kenyataan media mengenai kerajaan Saudi yang tidak mengeluarkan visa furada pada tahun ini.

Dalam laporan akhbar Berita Harian bertarikh 24 Jun 2022, beliau berkata, kerajaan Saudi bukan sekadar tidak mengeluarkan visa furada pada tahun ini, malah perkara itu berlaku sejak 2019.

“Visa furada adalah visa jemputan, yang mana ia adalah berdasarkan budi bicara duta Arab Saudi untuk diberikan kepada sesiapa yang dijemput duta sendiri. Namun, visa furada bukanlah diberi khas kepada syarikat (agensi) komersial tetapi bergantung kepada keadaan.

“Selalunya, visa ini adalah atas budi bicara duta Arab Saudi untuk diberikan kepada individu tertentu seperti ketua kerajaan atau mana-mana badan atau institusi yang dikenali oleh kedutaan Arab Saudi.

“Bilangan visa yang diluluskan juga terletak kepada budi bicara duta Arab Saudi sendiri,” ujarnya.

Beliau turut mengakui ada pihak yang mengambil kesempatan melakukan penipuan menggunakan nama visa berkenaan.

“Visa furada ini ada, namun yang palsunya adalah orang atau sesebuah agensi yang menawarkan visa furada untuk menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat ini, sedangkan duta Arab Saudi sehingga kini (dan sejak 2019) masih belum mengeluarkannya (kepada jumlah jemaah haji dalam bilangan yang ramai),” katanya.  

Terdahulu, pihak Lembaga Tabung Haji melalui laporan dalam akhbar Harian Metro bertarikh 6 Jun 2020, telah meminta orang ramai berhati-hati berurusan dengan pihak tertentu untuk menunaikan haji menggunakan visa furada, susulan penangguhan ibadah berkenaan untuk rakyat Malaysia pada tahun tersebut sepertimana yang telah diwartakan kerajaan Saudi. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -