Ronaldo kecewakan peminatnya di Bangkok

- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Cristiano Ronaldo tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad Manchester United yang berkunjung ke Thailand hari ini, untuk memulakan jelajah pramusim kelab yang mempunyai ramai pengikut di Asia.

Penyerang Portugal itu diberikan lebih banyak masa untuk menangani “isu keluarga” dan tidak akan berada dalam penerbangan ke Bangkok, yang dijadualkan meninggalkan Manchester pada 4.30 petang (waktu United Kingdom) hari ini.

- Advertisement -

Sumber memberitahu ESPN bahawa tiada tempoh masa ditetapkan untuk Ronaldo menyertai semula skuad itu.

Selepas menentang Liverpool di Thailand pada 12 Julai, United menuju ke Australia untuk perlawanan menentang Melbourne Victory, Crystal Palace dan Aston Villa. Mereka dijadualkan pulang ke Manchester pada 25 Julai.

Ronaldo dikatakan mahu meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini untuk menyertai kelab yang bersaing di Liga Juara-Juara musim depan. Bagaimanapun, United menegaskan pemain berusia 37 tahun itu yang mempunyai baki setahun lagi dalam kontraknya bukan untuk dijual.

Ronaldo sepatutnya kembali ke Carrington, Isnin lalu, tetapi diberi kebenaran oleh kelab untuk berehat panjang kerana sebab peribadi.

Namun, dia masih hilang dari latihan semalam dan tidak akan terbang ke Bangkok hari ini.

Mewakili United antara 2003 hingga 2009 dan menyertai semula kelab itu musim panas lalu, Ronaldo menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan. Namun, prestasi hebatnya di hadapan gawang tidak dapat membantu United yang hanya berada di kedudukan keenam dalam Liga Perdana dan gagal layak ke Liga Juara-Juara.

Pencabar tempatan, Chelsea serta kelab Jerman dan Itali, Bayern Munich dan Napoli, dikatakan antara kelab yang berminat dengan penyerang itu walaupun sumber memberitahu ESPN, United belum menerima sebarang bidaan terhadap Ronaldo. – HARAKAHDAILY 8/7/22

- Advertisement -