PAS utama pemulihan bencana, Mukhriz kalut nafi isu

- Advertisement -

SAYA tak pasti adakah penyokong totok PH sedang kepanasan atau tulisan saya membongkar fakta sehingga Malaysiakini bersungguh-sungguh memetik tulisan saya atas nama Darulnaim Research Centre untuk disensasikan. 

Dalam satu tulisan saya di Harakahdaily bertajuk ‘Dalang bencana Ladang Musang King? Tuduhan liar makan diri’ sebenarnya mengungkap tiga isi utama iaitu;

Pertama, petikan kronologi 2018 hingga 2021 yang ditulis oleh Wartawan Sinar Harian, Roslinda Hashim pada 8 April 2021 dalam laporan berita bertajuk ‘Kaji Semula Projek Musang King’.

Kedua, kehadiran YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi sebenarnya adalah untuk memperbaiki keadaan dengan mengarahkan hentikan tanaman Durian Musang King dan kembali kepada tanaman dibenarkan. 

Tindakan segera serta tegas Sanusi setelah kepimpinan Menteri Besar sebelum ini masih mempertahankan untuk meningkatkan keluasan Ladang Musang King dalam keadaan beberapa kali berlakunya banjir dan limpahan lumpur daripada sungai selepas hujan seperti dijelaskan dalam kronologi yang menyusahkan penduduk Iboi. 

Ketiga, nasihat kepada penyokong PH supaya kalau tak mahu membantu pun, hentikan fitnah dan tuduhan liar yang tak bertanggungjawab ketika mana Menteri Besar Kedah dan tim agensi kerajaan serta PAS bersama seluruh jentera sibuk fokus pemulihan bencana banjir. 

Daripada tiga isi utama tersebut nampaknya wartawan Malaysiakini Kow Gah Chie hanya berminat untuk ulas isi pertama dan kedua.

Isi ketiga adalah kesimpulan yang paling penting mengenai komitmen Menteri Besar Kedah sejak awal lagi turun ke kawasan terjejas banjir membantu rakyat di lapangan. Seluruh agensi Kerajaan Negeri Kedah pantas digerakkan membantu penduduk terjejas. 

Tak cukup dengan itu, seluruh jentera PAS bersama seluruh kerahan agensi seperti Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia dan kerahan ahli PAS untuk turun membantu masyarakat terjejas tidak pula diberikan fokus oleh artikel Malaysiakini

Baiklah untuk isi pertama, seperti tertera dalam artikel, penulis tidak berani untuk menamakan Wartawan Sinar Harian, Roslinda Hashim sebagai penulis kronologi. 

Berkaitan hal tersebut, sebarang persoalan yang ditimbulkan oleh Mukhriz Mahathir bahawa kronologi peristiwa yang dilaporkan hanya bermula dari November 2018 perlu dijawab terus oleh Wartawan Sinar Harian tersebut. 

Walaupun bagaimanapun, sebenarnya telah terdapat dua artikel yang masing-masing diterbitkan oleh Harakahdaily pada 6 dan 7 Julai 2022 bagi menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh Mukhriz Mahathir iaitu Cerita di sebalik tabir ‘ladang Musang King terbesar dunia’’ dan Kerajaan dulu lulus balak, kerajaan sekarang kena lumpur’

Jadi saya mohon Wartawan Malaysiakini Kow Gah Chie membaca artikel tersebut untuk dijadikan modal seterusnya. 

Berkaitan isi kedua pula, sesuatu yang pelik apabila Mukhriz Mahathir seolah-olah menafikan hal berkaitan ladang Musang King, sedangkan segalanya berlaku seperti apa yang dijelaskan dalam kronologi adalah ketika beliau menjadi Menteri Besar.

Bahkan, dalam satu laporan Berita Harian pada 31 November 2019 bertajuk ‘Hanya 20 peratus dibenar tanam durian’ jelas melaporkan bahawa telah dibuat pendedahan oleh Berita Harian terhadap kerja penanaman semula benih balak di Kompartment 6, 7 dan 9 Hutan Simpan Gunung Inas seluas 1,200 hektar tidak dilakukan, sebaliknya ditukar kepada tanaman Durian Musang King. 

Secara umumnya, daripada artikel Malaysiakini yang memetik tulisan saya jelas cuba menonjolkan respon Mukhriz Mahathir yang fokus melakukan ungkitan dan cubaan mengalihkan isu yang terpalit dengannya berkaitan Musang King di Gunung Inas. 

Pada hemat saya, ketika ini fokus kepada kerja-kerja pemulihan mangsa amatlah perlu diberi penekanan berbanding hal lain. Sebab itu saya mahu pertegaskan bahawa isi ketiga tulisan saya adalah inti utama tulisan saya, menjawab sikap tak bertanggungjawab atas tuduhan liar terhadap pihak yang sedang fokus membantu masyarakat terjejas di tempat bencana. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre
8 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -